Rumah terbuka atau “open house” sudah sinonim dalam kalangan umat Islam hari ini terutamanya apabila tibanya Syawal. Syawal juga dirasakan seolah-olah tidak lengkap tanpa mengadakan rumah terbuka.
Dalam penganjuran rumah terbuka ini biasanya tuan rumah akan menerima kunjungan kaum keluarga, sanak saudara dan rakan-taulan di kediaman masing-masing bagi sama-sama meraikan Hari Raya Idulfitri. Manakala ada segelintir umat Islam yang berkemampuan memilih mengadakan rumah terbuka di hotel-hotel mewah dan dewan-dewan besar. Tidak kurang juga ada yang sanggup berbelanja mewah dan berhabis-habisan wang ringgit semata-mata untuk mengadakan rumah terbuka kerana beranggapan bulan Syawal hanya sekali dalam setahun.
Meskipun Syawal hanya setahun sekali namun sebagai tuan rumah perlulah bijak dalam menguruskan majlis agar tidak berlaku pembaziran. Berlebih-lebihan dalam sambutan atau menunjuk-nunjuk dalam penganjuran keraian sehingga akhirnya menjadi beban kepada diri sendiri dan keluarga adalah dilarang sama sekali oleh Islam.
Hakikatnya Islam menganjurkan umatnya supaya bersederhana dalam segala hal terutamanya dalam mengadakan rumah terbuka. Amalan ini adalah selari dengan apa yang ditekankan oleh Islam menyuruh umatnya beristiqamah setelah berakhirnya Ramadan. Firman Allah SWT yang bermaksud “Maka tetaplah (istiqamah) engkau wahai Muhammad di jalan yang benar seperti yang diperintahkan bersama orang yang bertaubat dan janganlah kamu melampaui batas.” ( Hud, 11: 112). Justeru meraikan rumah terbuka pada hari lebaran ini tidak semestinya secara besar-besaran namun apa yang penting adalah niat kita untuk memuliakan bulan tersebut dengan penuh kesyukuran.
Selain itu, dalam mengadakan majlis rumah terbuka umat Islam wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah SWT. Ada dalam kalangan umat Islam yang merosakkan ketaatannya selama sebulan sepanjang Ramadan hanya pada hari pertama Syawal. Mengadakan rumah terbuka dengan melayan tetamu sehingga meninggalkan solat, tidak menutup aurat, pergaulan bebas tanpa batas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, makan yang terlampau sehingga membahayakan kesihatan dan sebagainya.
Walaupun amalan rumah terbuka bukanlah satu syariat yang diwajibkan oleh Islam sempena Hari Raya Idulfitri, namun jika dilakukan menurut garis panduan syarak amalan tersebut boleh menjadi satu ibadah. Konsep rumah terbuka ini sebenarnya menyediakan ruang yang luas kepada umat Islam untuk terus melakukan amalan yang dituntut oleh Islam. Antaranya, memberi peluang kepada umat Islam untuk ziarah-menziarahi, menghubungkan tali silaturrahim, bermaaf-maafan, bertukar-tukar fikiran dan dapat melayan serta menjamu para tetamu yang hadir.
Di samping itu, amalan kunjung-mengunjungi ini juga membolehkan persaudaraan yang selama ini renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang jauh menjadi dekat dan sebagainya. Lantaran itu, akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan. Amalan ini juga dilihat terbaik untuk mengumpulkan saudara mara yang jauh dan dekat bagi mengeratkan serta menjalinkan tali persaudaraan dan mempereratkan lagi ikatan kekeluargaan.
Sebagaimana Islam sangat menggalakkkan agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan silaturrahim dan ukhwah. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat” (al Hujarat: 47: 10).
Dalam pada itu Islam telah menggariskan beberapa adab ketika mengadakan rumah terbuka. Sebagai tetamu perlulah berniat baik atas kunjungannya, tidak memilih-milih tempat untuk berkunjung seperti rumah orang berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Manakala waktu berkunjung pula hendaklah memilih masa yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu tersebut pihak tuan rumah sedang beristirahat.
Begitu juga dengan adab bersalam–salaman dan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Jangan pula kita mengikut budaya barat besalaman tanpa mengira lelaki ataupun wanita. Majlis rumah terbuka juga perlu dijauhkan daripada menjadi medan pergaulan bebas antara para tetamu yang bukan mahramnya. Pergaulan bebas serta percampuran secara melampau antara lelaki dan perempuan boleh mengundang majlis yang asalnya untuk mendapat rahmat Allah SWT, bertukar menjadi majlis yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
Selain itu, sebagai tetamu, seboleh-bolehnya kita menjaga adab terutama ketika mengambil juadah yang disediakan. Cuba elakkan makan dengan tamak dan gelojoh di rumah terbuka. Makanlah sekadarnya dan ingatlah masih ada ramai tetamu yang akan datang untuk menjamu selera. Menjaga adab bertamu penting agar tidak tercemar dan dapat menjaga imej kita sebagai tetamu serta disenangi oleh tuan rumah.
Manakala bagi tuan rumah, beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati antaranya, mestilah berniat ikhlas menerima kunjungan dan bukannya menunjuk-nunjuk serta memilih tetamu yang berpangkat untuk diajak bersembang. Tuan rumah perlulah menghormati dan memuliakan semua tetamu tanpa mengira pangkat dan kedudukannya. Ingatlah bahawa, memulia dan melayan tetamu dengan baik, adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu. Di samping itu, tuan rumah juga digalakkan menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan.
Konsep rumah terbuka sepanjang bulan Syawal merupakan satu amalan yang baik. Walaupun penganjurannya hanya dilihat sebagai satu budaya masyarakat di Malaysia, namun jika caranya betul dengan menepati adab-adab yang bertiangkan syariat Islam serta jauh daripada perkara-perkara tercemar yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT, ia boleh dianggap ibadah dan wajar diteruskan.
loading...
0 Response to "Adab Rumah Terbuka Hari Raya"
Post a Comment