3 kaedah Membayar & Menguruskan Pinjaman Berunsur Faedah (Riba’)

Kongsikan di

Betapa mudahnya kehidupan kita masa kini.
Kurang mampu untuk membeli rumah atau kereta, institusi perbankan dan kewangan sedia memberikan pinjaman.
Sedar tak sedar, 15 tahun selepas pinjaman dibuat, kita masih setia membuat bayaran ansuran bulan demi bulan sedangkan bila dikira semula, jumlah hutang asal sepatutnya sudahpun terlangsai.
Mungkin saat itu, timbul rasa menyesal kerana terpaksa membuat bayaran tambahan yang merupakan bunga atau faedah atau premium atau apa-apa sahaja frasa yang digunakan institusi perbankan dan kewangan kini kerana telah terikat dengan kontrak pinjaman.
Mungkin saat itu, baru anda rasa terbeban dan tertindas dengan jumlah yang kadangkala tinggi mencecah langit.

Hutang dalam Islam

Dalam Islam, hutang yang dibenarkan hanyalah pinjaman Al Qard atau turut dikenali dengan nama Al Qardhul Hasan atau pinjaman kebajikan, kepada orang yang sangat memerlukan bantuan tanpa melibatkan bayaran lebih semasa bayaran balik hutang tersebut.
Pinjaman ini baik kerana membantu menyelesaikan masalah kewangan orang lain, bukan untuk mendapatkan keuntungan.
Sebaliknya pula bagi bayaran tambahan yang dikenakan ke atas pinjaman yang dinamakan sebagai riba’ Ad-Duyun jenis Al-Qard, iaitu manfaat tambahan yang disyaratkan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam ke atas pemberian jumlah pinjaman asal.
Faedah atau manfaat ini adalah suatu bentuk riba’ dan hukum riba’ itu haram.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 jelas menyatakan “Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’.”
Hadis Rasulullah SAW juga ada menyebut, “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat (bagi pemberi pinjam) maka ia adalah riba.”

Ramai yang tahu dengan hukum riba’ sebagai haram namun keliru dengan pengaplikasian hukum ini.

Dalam konteks pinjaman berunsur riba’, mereka menyangka hukum ini hanya sabit pada pemberi pinjam yang mengenakan faedah, sedangkan hakikatnya bagi pihak yang meminjam juga haram hukumnya.
Hal ini kerana yang meminjam dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan riba’.
Menurut Riwayat Muslim, Rasulullah SAW ada bersabda, “Si pemberi (riba’) dan si pengambil riba’ adalah sama.”

Bagaimana pula jika pihak yang meminjam rela membayar bunga kepada pinjaman tersebut?
Jika pihak yang meminjam dengan sukarela menawarkan pembayaran semula dengan nilai tambah, hukum haram turut sabit, kerana hukuman riba’ tergolong dalam kategori hak Allah SWT dan Islam tidak menerima campur tangan redha manusia dengan hukum yang berkaitan dengan hak Allah SWT.
Rasional di sebalik penetapan ini ialah pinjaman sepatutnya menjadi suatu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar membantu mereka yang mempunyai keperluan kewangan mendesak.
Jika dikenakan faedah atas pinjaman dalam keadaan terdesak itu, bukankah ianya suatu penindasan yang bersifat sebagai mengeksploitasi kesusahan pihak yang meminjam?
Kita lihat daripada aspek sosial pula, bukankah bantu membantu dalam masyarakat itu sepatutnya bersifat ikhlas hati tanpa mengharapkan balasan?
Jika kita mengamalkan pinjaman berunsur faedah ini, secara tidak langsung kita turut menyokong amalan mengharapkan dan mengenakan balasan apabila membantu orang lain, yang seterusnya bakal menghasilkan masyarakat yang hilang sifat tolong-menolong mereka.
Banyak lagi rasional di sebalik pengharaman riba’ bukan sahaja dalam urusan pinjaman tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan.
pinjaman berunsur
Bagi yang ingin melakukan pinjaman, cuba semampu boleh untuk tidak meletakkan diri anda dalam posisi ditindas, ditekan dan dieksploitasi.
Maknanya, elakkan meminjam daripada pihak yang mengenakan faedah ke atas anda jika anda mempunyai pilihan lain.

Bagaimana pula jika kita dalam keadaan yang begitu terdesak dan terpaksa mendapatkan pinjaman wang berdasarkan riba’ kerana tiada pilihan lain?
Sekiranya kita amat memerlukan wang itu untuk perkara yang dibenarkan Syara’ dan kita telah berusaha sehabis daya untuk mendapatkan pinjaman tanpa riba mengikut hukum Syara’ tetapi gagal, maka adalah harus untuk mengambil pinjaman yang berdasarkan riba.
Contohnya, sekiranya seseorang pelajar itu tidak mampu menyambung pelajaran tanpa mengambil pinjaman berunsur faedah dan dia telah berusaha untuk mendapatkan pinjaman tanpa faedah, dia dikira dalam keadaan darurat yang membolehkannya mengambil pinjaman berdasarkan riba’ berkenaan.
Jadi persoalan yang timbul bagi yang telah dan sedang mengambil pinjaman riba ini ialah perlukah faedah yang dikenakan hasil daripada pinjaman ini dilangsaikan memandangkan jelas hukumnya haram?
Jika perkara ini yang menjadi kerisauan anda, bertenanglah kerana Islam itu agama yang syumul, lengkap dan mudah. “Sesungguhnya Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Baqarah: 286).

Terdapat tiga pilihan kaedah menguruskan pinjaman berunsur riba’ bagi pihak yang meminjam, seperti berikut:

Kaedah 1: Batalkan terus pinjaman berunsur riba’ jika mampu.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan (jangan menuntut lagi) saki baki riba’ (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Baqarah : 278).
Jelas riba’ itu haram, dan kita dilarang untuk meneruskan pinjaman riba’.
Oleh itu, jika kita mampu dan boleh membatalkan pinjaman sebegini, maka kita wajib membatalkan terus pinjaman berunsurkan faedah tersebut.

Kaedah 2: Selesaikan jumlah bayaran pinjaman asal dan batalkan faedah jika mampu.
Jika tiada cara untuk kita membatalkan pinjaman sebegini, kita perlu membayar pinjaman itu semula cukup sekadar jumlah asal pinjaman tanpa membayar faedah yang dikenakan.
Kaedah ini terpakai hanya jika kita mampu menghapuskan liabiliti pembayaran faedah tersebut tanpa sebarang kesan negatif melalui perbincangan dengan pemberi pinjam.
Pinjaman asal itu wajib dibayar namun faedah dikenakan ke atasnya merupakan riba’ yang haram dan perlu dielakkan jika mampu.

Kaedah 3: Teruskan pembayaran pinjaman dan faedah jika tidak mampu, batalkan.
Jika tidak mampu untuk mengelakkan diri daripada pinjaman serta pembayaran faedah berkenaan, maka bayarlah pinjaman pada kadar asal termasuk dengan faedah itu sekali.
Syaratnya ialah kita perlu telah mencuba sehabis daya terlebih dahulu untuk mengelakkan diri daripada membuat  pinjaman berunsur riba’.
Setelah itu, bertaubat dan menyesallah atas apa yang kita lakukan.
“Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Asy-syuura: 25)

Akhir kata, elakkan daripada meminjam atau berhutang.

Walaupun begitu tidak dapat dinafikan keperluan dunia masa kini kadangkala menekan kita untuk melakukan pinjaman, maka pilihlah pinjaman tanpa unsur riba’.
Jika telah atau terpaksa mengambil pinjaman dengan unsur riba’, ketahuilah syarat dan kaedah pembayarannya.
“Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53).
Pada setiap apa yang diharamkan dalam Islam pasti ada kebaikannya dan mencegahkan kita dari sesuatu yang buruk.

Sumber : akuislam.com
loading...

0 Response to "3 kaedah Membayar & Menguruskan Pinjaman Berunsur Faedah (Riba’)"

Post a Comment