4 Sebab Mengapa Saya Kurang Bersetuju Dengan Program Realiti Agama

Kongsikan di
Hari ini laman Facebook dibanjiri dengan isu status seorang Dai yang menulis surat kepada seorang artis wanita bernama Uqasha. Tak lama dahulu seorang PU menulis kepada Mira Filzah.
Persoalannya, masih relevankah program realiti sebegini jika begini produknya..?
Sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa ramai juga mereka yang berkualiti yang dilahirkan daripada program realiti sebegini. Seumpamanya Imam Muda Asyraf dan lain-lain yang tak dapat saya nyatakan di sini.
Secara umumnya program Imam Muda pada saya lebih baik konsepnya berbanding program-program lain kerana ada sesi pengajian bersama mudir, ada program dakwah di lapangan dan lain-lain tanpa menafikan ada produk dari program lain yang bagus.
Di sini saya nyatakan sebab-sebab mengapa saya kurang bersetuju dengan program realiti agama :
1. Realitinya kita harus mengakui selagi mana program-program sebegini masih dikuasai golongan kapitalis yang mensasarkan keuntungan, fokusnya bukan lagi kepada bagaimana menghasilkan pendakwah yang berkualiti, tapi bagaimana mengaut keuntungan semaksima mungkin di samping meningkatkan rating penonton.
Kita mungkin masih ingat akan program Akademi Quran pada suatu ketika dahulu. Program ini sangat bagus namun malangnya terpaksa diberhentikan kerana katanya sudah kurang mendapat sambutan.
2. Cukupkah waktu selama berminggu-minggu itu untuk menghasilkan seorang pendakwah dan asatizah yang berkualiti?
Saya melihat seorang pendakwah itu memerlukan masa yang panjang untuk dibina dan dilatih.
Lihat sahaja program membina pendakwah dan ulama yang diasaskan oleh Syeikh Dudu di Mauritania. Program penuh yang memakan masa hampir 17 tahun demi melahirkan seorang pendakwah yang benar-benar berkualiti.
Bukanlah saya mahu katakan bahawa mereka ini harus mengikuti program 17 tahun ini sebelum berdakwah dan terjun kepada masyarakat, namun saya mahu katakan bahawa seorang pendakwah harus ada persiapan yang cukup dan mapan.
Jika benar waktu latihan program realiti ini cukup, mengapa lahir produk-produk yang bermasalah..?
3. Keberkesanan program ini terhadap penonton perlu dikaji semula. Adakah ada statistik dan kaji selidik dari pihak penganjur untuk mengkaji keberkesanan program ini terhadap penonton?
Ya benar. Hidayah milik Allah. Tapi wajarkah jutaan wang ringgit dihabiskan jika ia diakui gagal membawa perubahan signifikan di luar sana?
4. Apakah yang menjadi kayu ukur kepada kemenangan setiap peserta?
Jika kayu ukurnya adalah siapa yang paling hensem dan cantik, siapa yang paling lunak suaranya, siapa yang paling pandai berjenaka, siapa yang paling hebat pidatonya tanpa mengambil kira ketepatan fakta dan sandaran persembahan, maka ini merupakan satu kepincangan yang jelas.
Sebahagian masyarakat yang tiada keupayaan menganalisis fakta ilmu agama akan menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh Imam Muda, PU dan Dai atas alasan mereka adalah produk yang dilahirkan oleh program realiti sebegini. Sedangkan setiap perkataan manusia itu terdedah kepada kesilapan kecuali nabi yang maksum.
__________
Kesimpulannya, saya tidak melihat program-program realiti sebegini harus dikuburkan terus. Malah ia boleh diteruskan.
Cuma perlu dikaji semula perlaksanaan dan halatujunya.
Namun jika mafsadahnya ternyata lebih banyak, bukankah lebih baik dihentikan sahaja. Bukankah dakwah itu ada pelbagai pendekatan dan caranya?
Para pendakwahlah yang harus menguasai bidang media sebenarnya. Jika tidak, orang-orang biasa yang hanya mahu berhibur akan menguasainya.
Saya akhiri dengan petikan dari Imam Hasan al-Banna ini,
“Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka dia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya-foya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.” – Hassan al-Banna, Wahai Pemuda
Saya mengalu-alukan kritikan dan maklum balas jika ada.
Jika ada mana-mana fakta atau bahagian yang tidak tepat dan menyeleweng silakan memberikan teguran.
Moga kita saling berpesan dengan kebaikan dan kesabaran.

Kredit: Usaid Subki
loading...

0 Response to "4 Sebab Mengapa Saya Kurang Bersetuju Dengan Program Realiti Agama"

Post a Comment