ADAKAH KAKI WANITA ITU AURAT? Adakah Sah Solat Jika Terdedah Kaki??

Kongsikan di


Soalan:
Adakah bahagian kaki wanita itu aurat? Saya sering terlihat perempuan yang tidak memakai sarung kaki, bahkan ada juga yang solat tanpa memakai sarung kaki. Mohon penjelasan.

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Permasalahan mengenai sama ada kaki wanita itu aurat ataupun tidak adalah perkara khilaf yang berlaku  dikalangan para ulama. Secara umumnya terdapat dua pendapat di dalam permasalahan ini, iaitu:
  • Pertama: Kaki wanita itu adalah aurat.
Ini adalah pendapat jumhur para ulama dari mazhab Maliki, Syafi’e dan ianya juga adalah pendapat  mazhab Hanbali.
  • Kedua: Kaki wanita itu bukanlah aurat.
Ini adalah pendapat muktamad dari kalangan mazhab Hanafi dan ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari mazhab Syafi’e dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.

Perbincangan Pendapat
Pandangan jumhur yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat berdasarkan sebuah hadith riwayat Umm Salamah R.Anha yang mana pernah bertanyakan kepada Rasulullah SAW:
أَتُصَلِّي الْمَرْأَةُ فِي دِرْعٍ وَخِمَارٍ لَيْسَ عَلَيْهَا إِزَارٌ قَالَ ‏ ‏ إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا
Maksudnya: Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan). Jawab Nabi SAW: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki”.
Riwayat Abu Daud (640)

Al-Imam al-Khattabi Rahimahullah, mengenai hadith di atas menyebutkan:
“Khabar ini menjadi dalil ke atas sahihnya pendapat yang mengatakan tidak sah solat sekiranya terdedah bahagian badan melainkan sekiranya pakaian itu labuh, besar sehingga menutupi bahagian zahir kedua kaki. Ini menjadikan syarat sah solat itu adalah dengan tidak mendedahkan sesuatupun dari tubuh badannya”.
[Lihat Ma’alim al-Sunan. Al-Matba’ah al-‘Ilmiyyah, 1/180]

Seterusnya, al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan di dalam kitabnya al-Mughni:
“dan telah berkata Malik, al-Auza’ie dan al-Syafi’e bahawa keseluruhan wanita itu adalah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangan, dan apa selainnya wajib ditutup di dalam solat”
[Lihat al-Mughni, 1/431]

Adapun pendapat kedua yang mengatakan bahawa kaki wanita itu bukan aurat kerana kedua kaki secara kebiasaannya akan terdedah dalam melakukan sesuatu tugasan dan sebagainya.
Adapun hadith Umm Salamah R.Anha yang menjadi dalil mengatakan bahawa kaki wanita itu aurat dijawab dengan mengatakan bahawa hadith tersebut adalah mauquf semata-mata. Ini dapat difahami melalui komentar al-Imam Abu Daud Rahimahullah sendiri di akhir hadith tersebut yang mengatakan bahawa ramai yang meriwayatkannya tidak menyebut nama Nabi SAW sebaliknya meriwayatkan terus dari Umm Salamah R.Anha. Disebabkan oleh itu, Syeikh Nasiruddin Al-Albaani menghukum hadith tersebut sebagai dhoif (lemah) kerana ianya adalah riwayat yang mauquf (terhenti pada Sahabat).
Pendapat kedua ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab Hanafi. Ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari kalangan Syafi’eyyah dan juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dari kalangan Hanabilah.
Ini seperti mana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn ‘Abidin yang mana menyebutkan:
“Sesungguhnya kedua kaki itu bukanlah aurat pada pendapat yang muktamad.”
[Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/369]

Al-Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan juga di dalam kitabnya, al-Majmu’:
“Telah berkata Abu Hanifah, al-Thauri dan al-Muzani bahawa kaki wanita itu juga bukanlah aurat…”
[Lihat al-Majmu’, 3/169]


Begitu juga al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni ada menyebutkan:
“dan telah berkata Abu Hanifah, kedua kaki bukanlah aurat kerana keduanya adalah sesuatu yang pada kebiasaannya terzahir (terlihat) seperti muka…”
[Lihat al-Mughni (1/430-431]

Kesimpulan
Mengetahui bahawa permasalahan ini adalah khilaf, kami berpendapat bahawa pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat lebih selamat, berhati-hati dan keluar dari khilaf.
Oleh itu, tidak sah sekiranya seorang wanita itu solat jika terdedah bahagian kakinya melainkan ditutup dengan kain yang labuh ataupun dengan memakai sarung kaki.
Namun, sekiranya kita ada terlihat wanita yang solat tanpa memakai sarung kaki dan terdedah bahagian kakinya, boleh jadi mereka itu jahil ataupun berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu bukanlah aurat. Tegur dan tanyalah dengan cara yang berhemah agar tidak meninggalkan persepsi yang negatif kepada saudara seislam kita.
Wallahu a’lam.

Sumber: Mufti WP
loading...

0 Response to "ADAKAH KAKI WANITA ITU AURAT? Adakah Sah Solat Jika Terdedah Kaki??"

Post a Comment