Mari kita contohi akhlak Nabi Muhamad S.A.W : Sabar menghadapi ujian Allah S.W.T

Kongsikan di


Allah berfirman di dalam Al-Quran:
" Sesungguhnya, Allah bersama-sama orang-orang sabar."
( Surah Al-Baqarah:153)
Menurut Rasullah S.A.W, ada empat jenis sabar iaitu :

1. Sabar menanggung beratnya melaksanakan kewajipan. Kewajipan di dalam Islam itu ada banyak, seperti kewajipan mengerjakan solat lima waktu, membayar zakat, menunaikan haji apabila mampu, berpuasa di bulan Ramadhan, berjihad dan lain-lain lagi. Bagi mukmin yang sabar, betapa berat sekali pun kewajipan itu, tetap dilaksanakan dengan hati yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, tanpa peduli dalam keadaan sakit, melarat atau sibuk. Orang yang sabar melaksanakan kewajipan bererti mendapat taufik atau pertolongan dari Allah.

2. Sabar menanggung musibah atau ujian. Terdapat pelbagai ujian yang silih berganti menimpa orang mukmin. Namun, jika mukmin itu bersabar menanggung musibah dan ujian disertai tawakal kepada Allah, pasti jalan menuju kebahagian akan terbuka luas. Orang yang sabar menanggung musibah pasti memperolehi pahala yang besar dari Allah.

3. Sabar menahan kezaliman orang terhadap dirinya. Di akhir zaman kini, kezaliman telah berleluasa menguasai umat Islam di mana-mana bahagian dunia ini. Terdapat banyak kezaliman yang dikenakan ke atas orang-orang mukmin yang ingin menegakkan keadilan dan kebenaran. Tetapi bagi mukmin yang sabar menahan kezaliman orang demi untuk melihat tertegaknya keadilan dan kebenaran, pasti dia termasuk di kalangan orang-orang dicintai Allah S.W.T.

4. Sabar menanggung kemiskinan dan kepapaan. Banyak berlaku orang-orang yang diliputi kemiskinan akhirnya menjadi putus asa. Ada mengambil jalan mudah tanpa mempedulikan arahan agama dengan melakukan pekerjaan haram seperti merompak, mencuri, memeras ugut, menipu dan lain-lain lagi. Ada pula menjadikan pekerjaan mengemis sebagai kerjayanya dan meminta sedekah setiap hari, tanpa ada usaha untuk bekerja kerana di dalam jiwanya telah diliputi rasa putus asa dan kecewa. Sebaliknya, mukmin yang sabar menanggung kemiskinan dan kepapaan dengan cara qanaah(cukup) dengan apa yang didapatinya, maka dia adalah orang yang kehidupannya sentiasa dilimpahi kereedhaan dari Allah S.W.T.

Sabda Rasullah S.A.W :
" Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah suatu kebaikan(keuntungan), maka ia diberi penderitaan."
( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadith yang bersumber dari Anas Radhiallahu 'anhu berkata bahawa Rasullah S.A.W telah bersabda :
" Apabila Allah menghendaki kebaikan pada hambaNya nescaya Dia mempercepatkan seksa(penderitaan) kepadanya di dunia. Dan apabila Allah menghendaki kebinasaan kepada hambaNya, nescaya akan dilakukan kelak pada hari kiamat."
Dari hadis di atas jelaslah bahawa suatu penderitaan adalah merupakan batu ujian bagi setiap orang yang akan mencapai kemuliaan. Sebaliknya, orang yang selalu bernasib baik di dalam hidupnya, kadang-kadang merupakan suatu kesengajaan yang dikehendaki oleh Allah. JIka kesengajaan itu tidak diimbangi dengan rasa syukur, pasti kebinasaanlah yang akan menimpanya. Oleh itu, Rasullah S.A.W. selalu memberi nasihat kepada para sahabat agar teguh dan sabar menderita. Kesabaran itu bahkan hanya merupakan tutur kata baginda sahaja, melainkan benar-benar baginda mengalaminya. Betapa penyeksaan orang-orang kafir Quraisy pada dirinya setelah baginda menyeru mereka kepada Islam. Sungguh berat sekali, namun baginda tetap bersabar.

Uqbah bin Abi Mu'aith, salah seorang pengikut Abu Jahal adalah orang yang paling banyak menyakiti Rasullah S.A.W. Pada suatu hari, Abu Jahal mendesak para pengikutnya agar melakukan sesuatu yang boleh menyakiti baginda.
" Mengapa kamu mendiamkan diri saja najis si unta si Fulan?" kata Abu Jahal.
Mendengar sindiran Abu Jahal itu, Uqbah bin Abi Mu'aith segera bangun mengambil segenggam najis unta yang kemudian dicampakkan kepada Rasullah S.A.W. yang kebetulan pada waktu itu sedang sujud di depan Kaabah. Tetapi perbuatan kejam itu tidak dihiraukan oleh Nabi Muhamad S.A.W. Baginda tetap bersujud dengan kusyuk mengadap Allah S.W.T. Apabila Fatimah mengetahui peristiwa tersebut, ia segera datang menghampiri ayahnya itu. Penghinaan Uqbah ini tetap dihadapi dengan sabar dan tawakal kepada Allah.

Pesanan dari penulis : Apabila anda rasa anda diberikan ujian yang tidak mampu anda tanggung dan membuatkan anda menderita dan ingin berputus asa ingatlah...

Firman Allah S.W.T.:
"
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.
( Surah Al-Baqarah : 286)


Sumber: http://nursyahidailias.blogspot.my
loading...

0 Response to "Mari kita contohi akhlak Nabi Muhamad S.A.W : Sabar menghadapi ujian Allah S.W.T"

Post a Comment