Dewasa ini, kebanyakan umat Islam menjadikan aktiviti umrah sebagai persediaan sebelum menunaikan haji dan diibaratkan seperti proses beribadah sambil melancong. Bagaimanapun, bagaimanakah cara untuk anda mendapatkan umrah yang mabrur agar ibadah anda tidak sia-sia?
Istilah mabrur merupakan kata yang membawa maksud ibadah yang diterima Allah, acapkali dikaitkan dengan umat Islam yang mengerjakan umrah atau haji ke Mekah. Namun begitu, mabrurnya ibadah umrah atau haji seseorang itu merupakan rahsia Allah yang mana untuk menggapainya, seseorang itu perlu berusaha bersungguh-sungguh sepanjang melakukan ibadah agar perjuangannya tidak sia-sia.
Bagi mencapai umrah yang mabrur, seseorang perlu mempersiapkan diri sebaiknya daripada aspek mental dan fizikal agar fikiran sentiasa dalam keadaan tenang dan ibadah yang bakal dilaksanakan kelak lebih fokus dan khusyuk selari dengan tuntutan agama. Keselesaan diri sepanjang perjalanan sebelum tiba di Mekah juga menentukan kualiti ibadah yang bakal anda jalani di sana kelak.
#1 – Persediaan sebelum ke Tanah Suci
Ramai yang mengetahui tentang syarat wajib dan sunah, serta rukun-rukun ibadah haji dan umrah yang bakal dijalankan, namun ramai terlepas pandang akan pentingnya penjagaan diri dan kesihatan sebelum memulakan perjalanan itu sendiri. Bagi perjalanan umrah, perkara penting yang perlu diingat ialah pakaian yang dipakai sepanjang perjalanan merupakan kain ihram bagi lelaki manakala wanita berpakaian menutup aurat (biasanya memakai telekung dan berjubah).
Pakaian khusus seperti ini pastinya akan menimbulkan rasa kurang selesa sekiranya kulit tidak dijaga rapi kerana perjalanan yang jauh memakan masa yang panjang iaitu kira-kira 8 jam menyebabkan kulit yang terpempan dan berpeluh menjadi kering mahupun terlalu berminyak.
#2 – Peka dengan keadaan sekeliling ketika beribadah
Sebaik menaiki kapal terbang, umat Islam yang bakal menunaikan umrah dinasihatkan agar berniat serta digalakkan berpakaian umrah supaya tidak tergesa-gesa untuk miqat setibanya di sana. Bagi anda yang baru pertama kali mengerjakan umrah, anda dinasihatkan agar mengikuti mutawif anda dengan rapat, mengetahui lokasi penginapan dan membawa buku panduan umrah atau haji bersama sepanjang masa.
Ibadah tawaf yang dilakukan sebanyak 7 kali, memerlukan kekuatan fizikal dan mental dan fokus yang tinggi kerana perlu berasak-asak dengan berjuta lagi umat Islam seluruh dunia. Anda mestilah memiliki kesabaran tinggi serta tidak mudah hilang pedoman dan bersedia dengan sebarang kebarangkalian seperti tersesat atau terputus daripada kumpulan anda.
Ibadah saie juga mencabar apabila perlu berulang alik ke Safa dan Marwah sebanyak 7 kali dan perlu bersedia dengan gunting kecil bagi lelaki untuk memotong sekurang-kurangnya 3 helai rambut sebaik selesai melakukannya.
#3 – Khusyuk solat
Sabda Nabi Muhammad saw bermaksud:
“Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Makkah), dan masjid Rasulullah (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Baitulmaqdis).”Hadis riwayat Bukhari
Kelebihan Masjidil Haram adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 100,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.
Kelebihan Masjid Nabawi pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 1,000 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Dalamnya ada makam Nabi dan sebagai sebuah taman daripada taman syurga.
Kelebihan Masjid al-Aqsa pula adalah mereka yang bersembahyang dalamnya akan mendapat 500 (lebih afdal daripada) sembahyang di tempat lain. Keistimewaannya adalah ia masjid Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya.
Baginda Rasulullah S.A.W menggalakkan umat Islam sama ada yang menetap di Makkah dan Madinah atau yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, mengerjakan sembahyang sebanyak-banyak yang dapat di kedua-dua masjid mulia itu bagi mendapat pahala berganda.
Dalam sebuah hadis lagi ada menerangkan secara khusus kelebihan orang yang mengerjakan sembahyang di masjid Nabi sebanyak 40 waktu berturut-turut.
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah bersabda bermaksud:
“Sesiapa sembahyang di masjidku sebanyak 40 sembahyang (dengan syarat) tidak ketinggalan dalam satu sembahyang (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan daripada api neraka, dan kelepasan daripada azab seksa dan (ia juga akan bersih) daripada sifat munafik.”
Kesempatan menunaikan solat di Masjidil Haram seeloknya digunakan sebaiknya ketika berada di sini. Bagaimanapun, keadaan Masjidil Haram yang sentiasa dipenuhi umat Islam tanpa mengira waktu juga memerlukan kesabaran, kekuatan mental dan fizikal serta daya tumpuan yang tinggi bagi mendapatkan kekhusyukan ketika bersolat.
Sumber : tazkirah.net
loading...
0 Response to "4 Tip Yang Perlu Anda Tahu Untuk Mendapat Umrah Mabrur"
Post a Comment