Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Saya hendak bertanyakan soalan. Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah menganggur 2 tahun lebih selepas saya tamat belajar. boleh dikatakan berpuluh-puluh resume saya hantar kepada banyak syarikat. malangnya satu pun tidak tersangkut. Jika dipanggil interview pasti senyap selepas itu (bermaksud gagal). Saya pernah bercerita perkara ini dengan rakan saya. katanya, mungkin saya ada melakukan kesilapan sehingga Allah menyekat rezeki saya. Saya sudah berputus asa dan tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. benarkah apa yang rakan saya katakan itu? adakah Allah menyekat rezeki kita jika kita melakukan kesilapan? harap ustaz dapat menjawab soalan saya.
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Melakukan maksiat kepada Allah SWT mungkin salah satu sebab rezeki seseorang itu disekat. Firman Allah SWT:
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ
Maksudnya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
(Surah al-Syura: 30)
Dalam Tafsir al-Jalalayn (hal.643), kalimah “كَسَبَتْ” bererti dosa-dosa yang mereka lakukan. Ertinya dosa-dosa yang dilakukan adalah punca bagi bala yang menimpa kita. Manakala bagi orang yang tidak berdosa, bala yang ditimpakan Allah adalah menaikkan darjat mereka di Hari Akhirat (jika mereka bersabar dan reda).
Manakala Imam Ibn Kathir pula menyebut dalam tafsirnya bahawa bala yang ditimpakan itu sebagai ganti seksa yang sepatutnya berlaku di akhirat, maka Allah telah ampunkan di dunia dengan timpaan bala itu. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (7/207).
Lalu beliau menyebut hadis berikut. Rasulullah SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَب وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزَن إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا مِنْ خَطَايَهُ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا
Maksudnya: Demi Dia yang jiwaku di Tangan-Nya, tiada seorang mukmin yang ditimpa keletihan, kesakitan, kerisauan, dan kesedihan, melainkan Allah akan menjadikan musibah itu penebus kesilapan-kesilapannya, termasuklah duri yang mengenainya.
Hadis muttafaqun alaih
Maka daripada satu sudut, kenyataan rakan tersebut ada betulnya. Maka sewajarnya kita segera bertaubat, memperbanyakkan ibadat dan memberikan hak seseorang jika kita mengambilnya secara zalim dahulu.
Adapun jika kita sudah bertaubat tetapi masih berasa sempit daripada sudut rezeki, maka kita perlu faham tidak semestinya ia diakibatkan oleh musibat dosa. Barangkali berpunca daripada tidak faham konsep rezeki itu sendiri dan pembahagiannya.
Kategori Pertama: Rezeki Yang Sudah Ditetapkan Tanpa Perlu Dicari
Ada rezeki yang sudah ditetapkan Allah SWT tanpa perlu dicari. Sebahagian orang, sekalipun dengan usaha yang sedikit, dia memperolehi rezeki yang banyak. Kadang-kadang, dia memperolehinya tanpa usaha pun. Allah SWT berfirman:
قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
(Surah Saba’: 36)
Justeru, ada mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan ada mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang miskin. Begitu juga yang sederhana dan sebagainya. Bagi mereka yang kaya. harta yang banyak adalah ujian bagi mereka supaya bersyukur. Justeru, Allah mengkritik orang kaya yang tidak bersyukur dan bakhil.
Firman-Nya:
وَاللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الرِّزْقِ ۚ فَمَا الَّذِينَ فُضِّلُوا بِرَادِّي رِزْقِهِمْ عَلَىٰ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَهُمْ فِيهِ سَوَاءٌ ۚ أَفَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ
Maksudnya: Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?
(Surah al-Nahl: 71)
Bagi orang miskin, Allah juga mengkritik orang yang mendapat rezeki yang kurang tetapi kecewa dengan hidupnya dan menyalahkan Allah. Firman Allah Taala:
وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ
Maksudnya: Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”
(Surah al-Faqr: 16)
Maka cukuplah ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa soal rezeki itu, ada yang sudah ditetapkan Allah yang kita tak mampu mengubahnya. Kadang-kadang golongan yang kaya memerlukan orang yang miskin, untuk bekerja dengan mereka, sebagai contoh, atau begitu juga sebaliknya. Firman Allah Taala:
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
Maksudnya: (Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.
(Surah al-Zukhruf: 32)
Bahkan, jika semua orang menjadi kaya sama rata, maka keadaan akan menjadi melampau dan tidak stabil. Firman Allah Taala:
وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ
Maksudnya: Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
(Surah al-Syura: 27)
Kategori Kedua: Rezeki Yang Perlu Dicari
Selain daripada rezeki yang sudah ditetap oleh Allah SWT kepada kita tanpa usaha atau usaha yang minimum, ada rezeki yang Allah tetapkan kepada kita jika kita berusaha mencarinya. Firman Allah Taala:
وَهُوَ الَّذِي سَخَّرَ الْبَحْرَ لِتَأْكُلُوا مِنْهُ لَحْمًا طَرِيًّا وَتَسْتَخْرِجُوا مِنْهُ حِلْيَةً تَلْبَسُونَهَا وَتَرَى الْفُلْكَ مَوَاخِرَ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Nahl: 14)
Boleh jadi kita berasa rezeki kita disekat tetapi sebenarnya kita belum cukup usaha dan strategi untuk memperolehinya. Lihatlah maksud ayat di atas, “supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya”.
Justeru, hendaklah kita mencari sumber-sumber rezeki yang halal dan tidak mengehadkan pada satu-satu kaedah sahaja. Barangkali rezeki kita dipermudahkan bukan untuk bekerja di bawah orang tetapi bekerja sendiri. Mungkin juga sebaliknya. Yang penting kita perlu usaha dan berstrategi, termasuklah berbincang dan mengambil pengalaman daripada orang lain, kemudian berazam dan bertawakal kepada Allah Taala.
Firman Allah Taala:
فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(Surah Ali Imran: 159)
Kesimpulan
Sebagai orang beriman kepada qadha dan qadar, kita wajib menerima ketetapan yang Allah sudah diberikan kepada kita. Hendaklah kita bersyukur dan menghargai kurniaan Allah yang sudah diberikan kepada kita dan dalam masa yang sama teruskan berusaha menggilap potensi diri dan kemahiran. Setiap orang memiliki kebolehan istimewa dan tugas kita untuk mengenalpasti dan meningkatkan kualiti kebolehan tersebut. InsyaAllah kita akan berjaya. Daripada sudut keduniaan, berapa ramai jutawan yang berjaya bermula dengan susah dan tidak bekerja di bawah sesiapa pun, tetapi dengan kesungguhan usaha dan kebijaksanaan, mereka berjaya dan memiliki ramai pekerja.
Renungilah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab:
لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا تُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
Maksudnya: “Seandainya kalian benar-benar bertawakkal pada Allah, tentu kalian akan diberikan rezeki sepertimana burung diberikan rezeki. Ia pergi di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali di petang hari dalam keadaan penuh perut.”
Riwayat Tirmidzi (2344). Kata beliau: Hadis ini hasan sahih.
Wallahua’lam.
Sumber:- muftiwp.gov.my
loading...
0 Response to "Ustaz, Adakah Allah Sekat Rezeki Saya?"
Post a Comment