Betul ke Piring Astro Mengikut ARAH KIBLAT????

Kongsikan di

Surah al-Baqarah ayat 149 bermaksud : Dan dari mana sahaja engkau keluar, maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram, dan sesungguhnya perintah berkiblat itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.
            Arah kiblat umat Islam dalam melaksanakan ibadat-ibadat tertentu seperti solat, pengebumian jenazah, penyembelihan binatang ternakan adalah Kaabah yang terletak di Masjidilharam. Ianya telah disyariatkan berdalilkan ayat di atas.
Tanggungjawab penentuan, semakan dan pengesahan arah kiblat bagi setiap masjid, surau dan premis awam di negara Malaysia dijalankan oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri. Di negara kita Malaysia, arahnya adalah pada sekitar bering N 67 W hingga N 70 W, atau azimut 290° hingga 293°. Jika menggunakan kompas dengan penunjuk yang ringkas, ke kanan (Utara) sedikit dari arah Barat sekitar 20°.
Sikap masyarakat yang begitu prihatin dalam perkara ini telah menimbulkan persoalan sama ada piring Astro yang menyediakan perkhidmatan televisyen bersatelit dan radio berbayar di Malaysia seakan-akan mengarah ke arah kiblat. Buat makluman, Astro ini dimiliki hak sepenuhnya oleh MEASAT Broadcast Network Systems, di bawah syarikat Astro All Asia Networks plc ( rujuk : http://ms.wikipedia.org/wiki/Astro).

Encik Shahril bin Ahmad; Presiden Kelab Astronomi Amatur Malaysia dan pemilik web ‘falakonline’ berkata bahawa kedudukan piring Astro di lokasi tertentu boleh disemak melalui sebuah laman web iaitu http://www.dishpointer.com/. Laman ini akan menunjukkan kedudukan azimuth beberapa buah satelit, kita hanya perlu memilih bandar / lokasi tempatan dan satelit 91.5E MEASAT 3A | MEASAT-3.

Contoh carian rajah di bawah adalah bagi lokasi Sri Damansara. Hasil kiraan menunjukkan kedudukan Azimuth piring Astro di Sri Damansara ialah pada sekitar 253° manakala arah kiblat bagi Sri Damansara 292° 32° 11°. Didapati terdapat perbezaan antara ‘kiblat Astro’ dan kiblat sebenar kira-kira 40 darjah. Pengguna boleh membuat semakan selanjutnya maklumat arah kiblat menggunakan Kalkulator Falak di alamat  www.falak.unisza.edu.my/calc.
Encik Ahmad Taufan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerangkan dalam blog beliau bahawa satelit-satelit yang digunakan kini ada dua jenis orbit, satelit di geostationary orbit yang kekal berada di longitud 91.5° Timur, dan khatulistiwa (latitud) 0°. Satu lagi pula berada di geosynchronous orbit yang berada di longitud yang sama, tetapi tidak kekal di latitud yang sama. Untuk penerima di Bumi (Malaysia), piring penerima dihalakan ke arah satelit yang berada di geostationary orbit untuk menerima siaran berterusan.
Justeru itu, kebanyakan arah piring Astro bukan sahaja menghala ke arah barat 270° bahkan sedikit ke kiri (ke selatan) sebagaimana Sri Damansara. Disarankan kaedah semakan arah kiblat sempena fenomena Istiwa A’zam (Matahari di atas Kaabah) pada 27 mei dan 16 julai setiap tahun biasa bagi kiblat di rumah kediaman.

Kesimpulan perlu kita ambil perhatian bahawa piring Astro tidak mengadap tepat ke arah kiblat. Ianya hanya boleh dijadikan panduan setelah kita membuat semakan arahnya dan dibuat pembetulan dari arah kiblat sebenar. Pengesahan arah kiblat yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di masjid, surau dan premis-premis awam tidak boleh dibuat perbandingan dengan piring Astro yang berbeza-beza di setiap lokasi. Pengesahan kiblat di premis-premis tersebut menggunakan kaedah, pengiraan, peralatan dan kemahiran yang khusus.

 (Sumber: muftiwp.gov.my)



loading...

0 Response to "Betul ke Piring Astro Mengikut ARAH KIBLAT????"

Post a Comment