Soalan:
Adakah dibolehkan untuk mengucapkan takziah kepada bukan Islam apabila berlaku kematian dikalangan mereka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.
Perbahasan Hukum
Pendapat para imam yang masyhur mengenai permasalahan ini adalah dibenarkan untuk mengucapkan takziah kepada golongan bukan Islam yang ditimpa musibah kematian dan begitu juga sebaliknya dan mestilah golongan bukan Islam itu dari kalangan zimmi dan bukannya harbi. Ianya adalah pendapat al-Imam al-Syafi’e (wafat 204H) dan al-Imam Abu Hanifah (wafat 150H) dalam satu riwayat mengenainya. [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/275 & Hasyiah Ibn ‘Abidin, 3/140]
Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) Rahimahullah menyebutkan: “Dibolehkan bagi seorang muslim untuk mengucapkan takziah bagi orang bukan Islam (zimmi) dan begitu juga bagi orang muslim yang mempunyai kerabat yang bukan Islam…”. [Lihat Raudhah al-Talibin, 2/145]
Al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (wafat 610H) di dalam kitabnya, al-Mughni menyebutkan bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) Rahimahullah di dalam permasalahan ini ada dua pendapat:
- Pertama: tidak perlu untuk menziarahinya dan mengucapkan takziah. Ini berdasarkan sebuah hadith:
لاَ تَبْدَءُوهُمْ بِالسَّلاَمِ
Maksudnya: Janganlah kalian memulakan salam kepada mereka…
Riwayat Abu Daud (5205)
Jika ucapan salam sahaja tidak boleh dimulakan untuk golongan bukan Islam, apatah lagi jika untuk memberikan ucapan takziah buat mereka. [Lihat al-Mughni. Maktabah al-Qaherah, 2/406]
- Kedua: Keluar untuk menziarahinya. Ini berdasarkan sebuah hadith:
كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَقَالَ لَهُ " أَسْلِمْ ". فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهْوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم. فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهْوَ يَقُولُ " الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ".
Maksudnya: Seorang budak Yahudi yang menjadi khadam Nabi ﷺ telah jatuh sakit. Maka Rasulullah ﷺmenziarahinya dan duduk di sisi kepalanya dan berkata: “Islamlah kamu”. Maka budak tersebut memandang ke arah ayahnya yang mana turut berada di sisinya lalu ayahnya berkata: “Taatlah kamu kepada Abu al-Qasim (Nabi ﷺ)”. Maka Islamlah budak tersebut lalu keluar Rasulullah ﷺ dan berkata: “Segala pujian hanya bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari api neraka”.
Riwayat Al-Bukhari (1356)
Berdasarkan hadith di atas, maka dibolehkan untuk menziarahi orang bukan Islam yang sakit dan juga mengucapkan takziah buat mereka. [Lihat al-Mughni. Maktabah al-Qaherah, 2/406]
Ucapan Takziah Buat Orang Bukan Islam
Antara lafaz takziah yang diajarkan oleh Islam yang terdapat di dalam kitab fiqh seperti al-Hawi al-Kabir, al-Majmu’, al-Mughni bagi orang bukan Islam adalah seperti berikut:
- أَخْلَفَ اللَّهُ عَلَيْك، وَلَا نَقَصَ عَدَدَك : “Semoga Allah menggantikan ke atas kamu (dengan yang lebih baik) dan tidak mengurangkan bilangan kamu”.
- أَعْطَاك اللَّهُ عَلَى مُصِيبَتِك أَفْضَلَ مَا أَعْطَى أَحَدًا مِنْ أَهْلِ دِينِك : “Semoga Allah memberikan (yang terbaik ganjaran) ke atas musibah (yang menimpa kamu) yang tidak diberikan kepada seorangpun dari kalangan ahli agamamu”.
Adapun ucapan-ucapan lain yang dikira sesuai dengan keadaan serta masa bagi mengucapkan takziah, maka tidaklah mengapa melainkan terdapat beberapa syarat yang akan kami kongsikan selepas ini.
Kesimpulan
Jumhur ulama’ membenarkan bagi orang Islam untuk menziarahi dan memberikan ucapan takziah kepada bukan Islam. Bahkan dalam sesetengah keadaan, digalakkan untuk menziarahi mereka jika terdapat peluang dan maslahah untuk berdakwah kepada mereka dengan menunjukkan akhlak islamiyyah yang telah diajarkan oleh Islam itu sendiri.
Namun, perlu diingatkan juga dalam menziarahi serta mengucapkan takziah ada beberapa syarat dan juga peringatan yang perlu dipatuhi. Antaranya:
- Tidaklah di dalamnya terdapat amalan-amalan keagamaan bersifat i’tiqadiyyah (kepercayaan). Begitu juga dengan sesuatu amalan perbuatan yang boleh menzahirkan syi’ar agama mereka.
- Tidaklah di dalam ucapan takziah itu memohon keampunan buat si mati. Ini jelas larangannya di dalam al-Quran sepertimana firman Allah SWT:
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن يَسۡتَغۡفِرُواْ لِلۡمُشۡرِكِينَ وَلَوۡ كَانُوٓاْ أُوْلِي قُرۡبَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُمۡ أَصۡحَٰبُ ٱلۡجَحِيمِ ١١٣
Maksudnya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
(Al-Taubah: 113)
Maka, ucapkanlah sesuatu yang sesuai seperti anjuran untuk bersabar dan mengingatkan mereka akan hakikat sebuah kehidupan yang pastinya akan berakhir dan sebagainya.
- Tunjuklah rasa simpati dan empati dengan akhlak dan syaksiyah Islamiyyah agar ia menjadi ‘juru dakwah’ kepada mereka itu.
Semoga dengan penjelasan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita dalam beragama seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian khususnya apabila berlaku kematian dikalangan kita.
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
25 Mei 2016 bersamaan 18 Sya’ban 1437H
loading...
0 Response to "HUKUM MENGUCAPKAN TAKZIAH KEPADA BUKAN ISLAM"
Post a Comment