HUKUM BROKER JUAL TANAH MELEBIHI HARGA YANG DITETAPKAN

Kongsikan di

Soalan; saya menjadi broker jual-beli tanah. Tuan tanah berkata kepada saya; juallah tanah ini dengan harga RM 50 000 dan untuk kamu RM 10 000. Jika saya dapat jual dengan harga lebih dari harta itu (contohnya RM 60 000) adakah harus saya mengambil RM 10 000 untuk saya di samping komisyen yang dijanjikan tuan tanah?

Jawapan;

Muamalah di atas dalam fiqh Islam dipanggil samsarah. Pada dasarnya ia tertakluk kepada syarat yang disepakati bersama antara tuan/pemilik harta yang hendak dijual dan wakil penjualnya (broker). Bagi kes di atas, oleh kerana tuan/pemilik tanah telah menetapkan harga tanah, maka broker tidak boleh menjual melainkan dengan harga yang ditetapkan itu dan haknya ialah upah/komisyen yang dijanjikan itu. Jika broker menjual dengan harga lebih dari yang ditetapkan, wajib dirujuk semula kepada tuan/pemilik tanah. Jika dia menyetujuinya, keseluruhan wang jualan adalah miliknya. Bergantung kepadanya sama ada hendak memberi lebihan harga itu kepada broker atau tidak, kerana broker sudah ada haknya iaitu upah/komisyen yang dijanjikan.

Adapun jika tuan/pemilik tanah berkata; 'juallah tanah saya ini berapa saja harga yang kamu ingin jual, bayar kepada saya RM50 000 sahaja', maka bagi cara kedua ini, broker boleh menjual dengan harga melebihi dari yang diminta oleh tuan/pemilik tanah dan yang lebih itu adalah miliknya. Mu'amalah cara ini dibolehkan oleh sebahagian ulamak, antaranya Ibnu 'Abbas RA sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sohehnya; berkata Ibnu 'Abbas RA; 
لاَ بَأْسَ أَنْ يَقُولَ: بِعْ هَذَا الثَّوْبَ، فَمَا زَادَ عَلَى كَذَا وَكَذَا، فَهُوَ لَكَ
"Tidak mengapa (yakni dibolehkan) untuk seorang berkata (kepada wakil/brokernya); 'Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian sekian, maka ia adalah milik kamu'" (Soheh al-Bukhari, kitab al-Ijarah, bab Ujrah as-Samsarah).

SUMBER: ILMUDANULAMAK
loading...

0 Response to "HUKUM BROKER JUAL TANAH MELEBIHI HARGA YANG DITETAPKAN"

Post a Comment