HUKUM ISLAM MENGENAI TROLL DAN SARKASTIK DALAM KEHIDUPAN SEKARANG

Kongsikan di

Sepanjang pemerhatian saya, semenjak akhir-akhir ini fenomena atau budaya Troll di media sosial seperti facebook, twitter dan youtube sangat memberi pengaruh kepada nilai akhlak dan syakhsiah generasi muda.
Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit kefahaman dan kesan terhadap budaya ini.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN TROLL ?

Troll adalah perbuatan seseorang  yang sengaja provokatif (menghasut) atau sarkasme kepada sesuatu berita atau mesej yang mana pernyataannya berbeza dangan pernyataan atau mesej yang asal (off-topic) dengan tujuan untuk menyebabkan gangguan emosi ataupun tekanan terhadap berita tersebut. Istilah ini juga disebut sebagai ‘Trolling’.
Sarkasme pula adalah satu bentuk sindiran dalam ungkapan yang mengejek dan menghina sesuatu berita ataupun peribadi seseorang dengan tujuan untuk menyinggung perasaan sesesorang.
Perkataan ini diambil daripada perkataan yunani (sarkasmos) yang membawa maksud mengoyakkan atau merobek daging.
Terdapat juga Troll dalam bentuk komik dan mempunyai beberapa ekspresi yang biasa digunakan. Antaranya :
  1. Derp, Herp, Derpina dan Malvin
  2. Troll Dad
  3. Cereal Guy
  4. Forever Alone Guy
  5. Like A Boss
  6. Poker Face
  7. GTFO
  8. Like A sir
Orang yang melakukan perbuatan demikian, digelar sebagai Troller. Kita boleh menetapkan secara ringkas  ciri-ciri identiti troller ini kepada beberapa kategori :
  1. The Queen Bee
  2. The Puffed Pedant
  3. The Prickly Recluse
  4. The Sock Puppet Master
  5. The Fake Friendly

APAKAH KESAN KEPADA MANGSA TROLL ?

troll
Lahirnya internet, melahirkan banyak budaya baru di dunia, terutama dunia maya yang efeknya juga terasa di dalam kehidupan sehari hari
Walaupun pada asalnya, perlakuan troll tersebut dengan niat hanya sekadar untuk berjenaka, tetapi serba sedikit ia akan member kesan terhadap orang yang ditroll tersebut.
Ia akan menyebabkan mangsa troll tersebut merasa ‘Butthurt’ iaitu satu perasaan dan tindak balas emosi yang negative  terhadap serangan dan penghinaan yang ditujukan terhadapnya.
Ataupun dengan kata mudahnya merasa tersinggung dengan perbuatan tersebut.

BAGAIMANA PERBUATAN TROLL DAN SARKASME PADA PANDANGAN SYARAK ?

Setelah kita memahami pengertian istilah, bentuk troll dan sarkasme serta kesannya kepada perbuatan tersebut, mari kita lihat apakah syarak membenarkan perbuatan ini.
Perbuatan berdusta dengan tujuan untuk berjenaka adalah perbuatan yang dilarang oleh islam, manakala mengungkapkan sesuatu ungkapan yang bertujuan menghina dan mengejek peribadi seseorang juga tergolong sebagai Ghibah sepertimana yang disebutkan di dalam sabda Nabi s.a.w.
Rasulullah SAW menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?” Lalu jawab Baginda, “Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!”.
Kemudian Baginda ditanya lagi, “Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar?” Jawab Baginda, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).” (Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi.)
Ghibah maksudnya menyebut keburukan orang lain walaupun benar. Buhtan maksudnya memfitnah dan mengada-adakan keburukan orang.
Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah kecuali dia mengingkari dengan lidah atau menerima dengan hatinya (yakni tidak menyampaikan cerita itu).
Bila ada kesempatan, maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan yang lebih manfaat.

Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan, isyarat, ungkapan, celaan, tulisan atau gelaran yang berbaur hinaan. Mendengar ghibah dengan sikap kagum dan menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah.
Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan diberikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya.
Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana ia boleh mengakibatkan putus ukhwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar aib dan lahir kehinaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka jahanam sejauh antara timur dan barat.”  (Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang berdusta pada tutur katanya walaupun dengan niat untuk berjenaka ditegah dan akan tergolong dalam golongan munafik
Rasulullah s.a.w bersabda : Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !
Huraian Hadith: 
i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.
ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.
iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.

DUSTA ADALAH SIFAT ORANG MUNAFIK
Munafik berasal dari perkataan “nafaqa” yang bermaksud “terbelah dua” iaitu tidak solid dan tidak jujur dengan Islam.
troll
troll
Pepatah melayu juga ada menyebut “talam dua muka” atau bermuka-muka yang bermaksud seseorang yang mendapat keuntungan daripada dua belah pihak yang berselisih.
Bermuka dua itu memburukkan sesuatu pihak di hadapan pihak lain dan sebaliknya dengan alasan “nak hidup”.
Dalam IslamMunafik adalah salah satu kategori atau golongan manusia yang diletakkan tarafnya lebih rendah daripada Muslim biasa.
Terdapat 30 ciri orang-orang yang dikategorikan sebagai yang dapat disebut munafik melalui petikan hadis Rasulullah s.a.w. Di dalam kehidupan sehari-hari, kita kerap mendengar perkataan “munafik” diucapkan orang.
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim pula, Rasulullah bersabda:
“Tanda orang munafik ada tiga, salah satunya adalah jika berbicara dia dusta.”

BALASAN BAGI ORANG MUNAFIK

Allah (membalas) memperolok-olok dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). (Al-Baqarah:15)
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. (An-Nisaa:145)
BERHATI-HATILAH DALAM BERMEDIA SOSIAL
troll-2Di dalam teknologi media yang serba canggih ini, ternyata memberi kemudahan kepada kita untuk menerima dan mencari sebarang maklumat dengan semuanya hanya di hujung jari sahaja.
Ianya juga memberi kesan yang baik dan juga buruk kepada pengguna.
Kesan yang baik bagi seorang pelajar dapat mencari apa saja maklumat untuk menyempurnakan assignment atau tugasan pensyarah di website, blog, Wikipedia dll.
Kesan yang buruk pula, ia menyebabkan pelajar menjadi malas merujuk kepada sumber yang asli iaitu kitab di perpustakaan atau mendekati pensyarah untuk meminta pandangan atau bertanya sebarang kemusykilan di dalam sesuatu bab.
Pesanan saya, berhati hatilah dalam menerima sesuatu berita dan menyampaikan kepada orang lain, selidiklah terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita itu.
Takut-takut kita tergolong dalam golongan munafik dan menyebarkan fitnah terhadap orang lain.
Wallahu A’alam.

Rujukan :
Al-Quranul Karim
Sahih Bukhari
Mukhtasar Minhajul Qosidin
Web Rasmi JAKIM
loading...

0 Response to "HUKUM ISLAM MENGENAI TROLL DAN SARKASTIK DALAM KEHIDUPAN SEKARANG"

Post a Comment