Walaupun buta, dia masih mampu beri kasih sayang yang terbaik buat anaknya

Kongsikan di
Sebak melihat gambar, bertambah sebak membaca perkongsian dari Puan Neena Anuar ini. Gambar seorang bapa yang buta dan anak kecilnya, benar-benar meruntun hati yang memandangnya. 

Justeru, apa lagi alasan kita untuk tidak bersyukur dengan nikmat hidup dan zuriat yang dikurniakan olehNya selama ini? Bacalah perkongsian dari Puan Neena Anuar ini. Semoga dapat membuka mata hati anda. 



Suami hantar mesej di WhatsApp. Dia kata dua orang anak beranak ini naik satu tren dengan dia pagi tadi. Dia sebak melihat gelagat dua beranak ini. Si ayah melayan si anak dengan penuh kasih sayang, sanggup carry macam-macam beg di tangan dan badan. 

Ya Allah, touching sangat tengok gambar ini! Kasih seorang ayah yang cacat penglihatannya. Anak dia tampak sempurna dan comel sangat! 

Tetapi dalam masa yang sama, saya berasa sedih dan kecewa. Kecewa dengan segelintir golongan insan yang cukup segala sifat tetapi mereka malas berusaha. Malah lebih mengecewakan apabila mereka sanggup mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak kecil mereka yang cukup sihat sifatnya.

Sangat menyedihkan apabila golongan ini sering menyalahkan takdir kehidupan mereka yang kononnya menjadi punca mereka hidup sengsara. Hakikatnya, mereka sendiri yang membutakan mata hati mereka untuk melihat dan mengambil iktibar dari kisah kehidupan insan mulia seperti lelaki ini yang buta penglihatannya, namun masih mampu memberikan kasih sayang yang terbaik buat anaknya. 

Saya sendiri mengambil iktibar dari kisah dua beranak ini tadi. Alhamdulillah, Allah beri saya nikmat kehidupan bersama suami dalam segala sudut. Tetapi Allah masih belum kurniakan kami rezeki untuk memiliki rumah dan zuriat sendiri. 

Seandainya saya tidak berpuas hati dengan apa yang belum saya miliki ini, itu bermakna saya tidak bersyukur dengan limpahan nikmat rezeki yang Allah telah berikan pada kehidupan kami selama hari ini. 

Jadi, selalu kena ingatkan diri sendiri, jangan mengeluh, jangan merungut. Kena selalu ingat nasib insan lain yang mungkin lebih teruk ujian buat mereka. 

Allah Maha Adil, setiap insan ada dugaan, kekurangan, kelebihan dan nikmat kehidupannya yang tersendiri. Allah sentiasa sayangkan hambaNya. 

Ya Allah, Engkau lindungilah kedua-dua anak beranak ini dan Engkau permudahkanlah setiap urusan keluarga ini. Amin. 

Sumber: The Reporter
loading...

0 Response to "Walaupun buta, dia masih mampu beri kasih sayang yang terbaik buat anaknya"

Post a Comment