PENJELASAN TENTANG VALET DOA

Kongsikan di
Alhamdulillah, kami merafa’kan setinggi kesyukuran kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW begitu juga kepada keluarga, Sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat. Kami menerima persoalan berhubung Valet Doa yang sedang tular di media sosial beberapa hari ini. Justeru, kami merasakan isu ini perlu dijawab dengan segera agar ia tidak membarah dan menjadi perkara yang boleh mengundang pelbagai persoalan dan kekeliruan kepada masyarakat. Maka, atas dasar inilah kami namakan Bayan Linnas Siri Ke-85 ini dengan tajuk “Valet Doa: Penjelasannya”. Semoga penjelasan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita semua, Amin.
Definisi Valet
Parkir valet adalah khidmat untuk meletakkan kenderaan oleh petugas valet. Pemandu tidak mencari tempat parkir yang kerana ia dilakukan oleh petugas valet parkir. Pemandu kendaraan hanya perlu turun dari mobil di depan lobi sesebuah hotel, pusat beli belah atau sebagainya, dan menyerahkan kenderaan kepada petugas valet.
Definisi Doa
Kami tertarik dengan definisi doa yang dikemukakan oleh Imam al-Khattabi. Antara lain beliau mendefinisikan dengan:
“Doa adalah permohonan untuk pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikat doa itu adalah menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya terpateri pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurah-Nya.” (Lihay Sya’n al-Dua’, hal. 4)
Beberapa Isu Yang Timbul Dalam Perniagaan Valet Doa
Sebelum menyatakan pandangan kami berhubung isu ini, kami sempat meneliti copywriting yang diletakkan di Facebook Valet_Doa. Kami dapat mengesan beberapa masalah yang timbul pada bentuk perniagaan Valet Doa ini.
Pertama: Etika Pengiklanan Dalam Islam
Kami melihat, individu berkenaan kurang memerhatikan aspek etika pengiklanan dalam Islam. Antaranya:
  • Seni pengiklanan yang berlebih-lebihan.
  • Terdapat beberapa keraguan di dalam perniagaannya iaitu
    • Memberikan jaminan 100% pemakbulan doa, sedangkan ianya tidaklah sesuatu yang pasti dan pemakbulan Allah adalah hak mutlak Allah. 
    • Berhubung ‘servis doa’, barang yang diniagakan dan diupahkan adalah kemakbulan doa sedangkan makbul atau tidaknya doa itu adalah hak Allah secara mutlak serta ianya bersifat tidak jelas kerana kemakbulan adalah mutlak bergantung kepada-Nya. Ia tetap tidak boleh dilakukan sekalipun ada jaminan wang dikembalikan. Ia juga tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.
    • Servis berkaitan dengan ibadah amat perlu kepada nas kerana asal ibadah itu adalah tawaqquf dan ta’abbudi. Kaedah menyebut الأصل في العبادة التوقف (Asal bagi ibadah adalah terhenti kepada al-Qur'an dan al-Sunnah.)
    • Mengkomersialkan doa dibimbangi termasuk dalam firman Allah SWT:
وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ
Maksudnya: Jangan kamu menjual ayat-ayat-Ku dengan harga benda yang murah
(Surah al-Baqarah: 41)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Jangan kamu ambil secara tamak untuk sedikit harta benda sehingga kamu menyembunyikan nama Allah. Maka yang termasuk dalam harga itu adalah ketamakan.” Lihat Tafsir al-Tabari, 1/565.
Al-Alusi berkata: “Jangan kamu tukar iman dengan ayat-ayat-Ku atau ikut untuk mendapatkan habuan dunia yang sedikit lagi binasa dengan ganjaran akhirat.” Lihat Ruh al-Ma’ani, 1/389.

Dr. Wahbah al-Zuhaily: “Jangan kamu jual ayat-ayat Allah yang menunjukkan atas kebenaran Muhammad pada kenabiannya dan dakwahnya dengan sedikit harta benda dunia.” Lihat Tafsir al-Munir 1/150.

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan unsur perniagaan serta menjaja dan menggunakan acara ibadah dan doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan oleh Islam.
Kedua: Hak Mutlak Allah Sebagai al-Mujib
Kami tidak menafikan, terdapat pelbagai hadis berkenaan tempat-tempat makbul di Tanah Haram seperti doa di Multazam dan Hajar al-Aswad. Antara hadis berkenaan kemustajaban doa di Multazam. Daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya, berkata:
طُفْتُ مَعَ عَبْدِ اللَّهِ فَلَمَّا جِئْنَا دُبُرَ الْكَعْبَةِ قُلْتُ: أَلَا تَتَعَوَّذُ؟ قَالَ: «نَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ النَّارِ»، ثُمَّ مَضَى حَتَّى اسْتَلَمَ الْحَجَرَ وَأَقَامَ بَيْنَ الرُّكْنِ وَالْبَابِ، فَوَضَعَ صَدْرَهُ وَوَجْهَهُ وَذِرَاعَيْهِ وَكَفَّيْهِ هَكَذَا وَبَسَطَهُمَا بَسْطًا، ثُمَّ قَالَ: «هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُهُ»
Maksudnya: “Aku sedang bertawaf bersama Abdullah (Abdullah bin Umar). Ketika kami berada dibelakang Baitullah, aku bertanya, “Tidakah kamu memohon perlindungan?”Abdullah pun berkata: ‘Kami berlindung kepada Allah dari panasnya siksaan api neraka.” Setelah selesai, Abdullah menyentuh Hajar al-Aswad dan berdiri antaranya dan pintu Ka’bah, lalu merapatkan dada, muka, kedua siku, dan kedua telapak tangan nya dan berkata: “Seperti inilah aku melihat Rasulullah SAW melakukannya.”
(Riwayat Abu Daud, no. 1899)

Kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
مَا بَيْنَ الرُّكْنِ وَالْبَابِ يُدْعَى الْمُلْتَزَمَ لَا يَلْزَمُ مَا بَيْنَهُمَا أَحَدٌ يَسْأَلُ اللهَ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ
Maksudnya: “Antara rukun Hajar Aswad dan pintu Ka’bah terdapat Multazam. Tidak seorang pun hamba Allah SWT yang berdoa di tempat ini, kecuali dikabulkan doanya.”
(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, no. 3769)
Kami tidak nafikan betapa mulianya Mekah terutamanya Masjidil Haram yang terdapat banyak-banyak mulia seperti hadith di atas. Justeru, Rasulullah SAW pernah mengirim doa melalui Saidina Umar ketika beliau mahu menuju ke Mekah. Antaranya sabda Nabi SAW:
أَيْ أُخَيَّ أَشْرِكْنَا فِي دُعَائِكَ وَلَا تَنْسَنَا
Maksudnya: “Hai saudara yang kukasihi, sertakan kami dalam doa kamu dan jangan lupa kami.”
(Riwayat al-Turmuzi, no. 3562) dan beliau berkata, hadis ini hasan sahih.
Untuk mendapat kepastian dan lebih luas lagi pengetahuan berkenaan dengan isu ini, maka sewajarnya kita melihat kitab-kitab berkaitan adab doa dan juga kitab khusus seperti al-Azkar oleh Imam al-Nawawi dan juga al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-'Umrah oleh Imam al-Nawawi juga yang menyebut tempat-tempat yang mustajab doa. Tetapi, semuanya didoakan dengan penuh keikhlasan daripada seseorang tanpa sebarang bentuk perniagaan doa. Ini kerana, Allah sahaja yang bersifat penerima doa yang yang memakbulkannya.
Benarlah firman Allah SWT:
وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ
Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya.(Surah al-A'raf: 73)
Maka, jelas di sini bahawa hak memakbulkan doa itu hanya milik mutlak Allah SWT. Tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah SWT dalam keadaan hak tersebut bukan hak dirinya. Apatah lagi jika menetapkan tempoh masa tertentu untuk kemakbulan doa, seolah-olah individu terbabit memaksa Allah SWT untuk mengabulkan doa pada tempoh yang ditetapkan. Sedangkan, tempoh untuk memakbulkan doa terpulang mutlak kepada-Nya tanpa boleh dipaksa mana-mana hamba-Nya.
Perlu kami nyatakan di sini beberapa adab doa untuk panduan bersama. Antaranya:
  • Seseorang yang berdoa itu perlu mentauhidkan Allah dan tidak mempersekutukan-Nya.
  • Ikhlas kepada-Nya dalam doa.
  • Memohon kepada-Nya dengan nama-nama Allah yang mulia.
  • Memuji Allah sebelum berdoa
  • Berselawat ke atas Nabi SAW.
  • Mengadap kiblat.
  • Mengangkat kedua tangan.
  • Yakin kepada Allah akan kemakbulannya.
  • Memperbanyakkan memohon kepada-Nya.
  • Khusyuk dalam berdoa.
  • Mengulang-ulangi permohonan doa.
  • Mengelokkan makanan dan minuman.
  • Merendahkan suara ketika berdoa.
Ketiga: Akhlak Dengan Allah SWT
Oleh kerana acara doa merupakan ibadah yang sewajarnya dilakukan dengan syarat yang benar lagi tepat, maka sewajarnya kita mempunyai akhlak kepada Allah. Antara bentuk akhlak yang sesuai adalah, selayak dan seafdhalnya orang yang mempunyai hajat itu sendiri yang berdoa. Ini berdasarkan kepada perintah Allah dan suruhan-Nya kepada kita.  Mohon pertolongan kepada Allah dapat difahami dengan konsep:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya: “Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami minta pertolongan.”
(Surah al-Fatihah: 5)
Ibn Kathir berkata: “Allah memerintahkan kamu supaya mengikhlaskan dalam ibadah dan hanya meminta tolong kepada-Nya dalam urusan kamu.” Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/39.

Dalam kisah Nabi Zakaria yang melihat karamah dan kemuliaan Maryam dengan rezeki yang luarbiasa, maka Allah rakamkan kisah yang menarik ini:
كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ. هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Maksudnya: “Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira". Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”
(Surah Ali Imran: 37-38)
Ayat ini menunjukkan adab yang diajar kepada kita iaitu apabila berhajatkan sesuatu, masing-masing bertawajjuh, munajat dan berdoa kepada Allah SWT. Itulah petunjuk Ilahi dan itu lebih menampakkan kesungguhan seseorang yang berhajat.
Keempat: Salahfaham Konsep Doa
Dalam al-Qur’an bagaimana Allah mengajar Rasul-Nya SAW yang beliau sendiri tidak mempunyai kuasa untuk memberi manfaat dan mudarat kecuali Allah SWT.
قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah.”
(Surah al-A’raf: 188)
Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW dan sangat bertepatan dan kekeliruan yang timbul di sebabkan isu Valet Doa ini. Sekiranya Rasulullah SAW sendiri menafikan dirinya berkuasa untuk mendatangkan mudarat dan manfaat kecuali Allah SWT, bagaimana pula seorang individu lain mampu menjamin kemakbulan doa secara yakin, dengan bersandarkan beberapa buah hadis yang disalahfahami? Justeru, semua doa yang kita pohon kepada-Nya yang memakbulkan hanyalah Dia yakni Allah SWT. Kerana itulah berkali-kali Allah menamakan diri-Nya dengan sami' al-dua' (yang mendengar doa).
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat. Ini kerana, tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan salafussoleh berbuat demikian. Hatta bila Nabi SAW mahu menyertakan doa Saidina Umar RA dengannya, tiada sebarang syarat kewangan, upah atau bayaran yang dikenakan oleh Saidina Umar RA.

Kami juga melihat, penamaan pakej-pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah sangat tidak berakhlak dan mengelirukan. Sementelahan lagi, ia jelas menunjukkan sifat komersialnya dan manipulasi doa.
Berkenaan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Said RA, sabda Rasulullah SAW:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ : إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ
Maksudnya: “Tiada seorang Islam berdoa dengan satu doa yang tiada padanya unsur dosa dan putus silaturrahim kecuali Allah kurniakan kepadanya salah satu daripada tiga iaitu samada disegerakan doanya, ditangguhkannya untuk hari akhirat atau dihilangkan daripadanya kejahatan seumpamanya. Kemudian sahabat berkata: ‘Kalau begitu, kami akan membanyakkannya. Sabda Baginda: ‘Semoga Allah memperbanyakkan (juga pemakbulan doa kalian).”
(Riwayat Ahmad, no. 10749)
Hadis ini menunjukkan bahawa doa yang dipohon oleh seseorang akan diterima, tetapi bentuk penerimaannya itu pelbagai berdasarkan nas di atas. Samada dimakbulkan segera, ditangguhkan ke hari Akhirat atau dihilangkan keburukan seumpamanya. Inilah yang ditafsirkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (11/95). Justeru, penggunaan kalimah mustajab atau jaminan makbul yang difahami itu akan mengelirukan lebih-lebih lagi jaminan dan had masa tertentu untuk mendapatkannya. Ini menyalahi nas yang sahih lagi jelas.
Kami sarankan anjuran dan perniagaan seperti ini hendaklah DIBATALKAN agar Islam dilihat sebagai agama yang benar-benar mengikut neraca syariatnya dan terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua dan menjadikan kita golongan yang benar-benar mengikut syariat-Nya, Amin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
15 Februari bersamaan 18 Jamadil Awal 1438
loading...

0 Response to "PENJELASAN TENTANG VALET DOA"

Post a Comment