Sehari dua ini, aktiviti perbomohan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin telah tular dengan hangat dalam kalangan netizen. Kami merasakan isu ini perlu diberi perhatian dan kami menjawabnya dalam ruangan kali ini dengan lebih tuntas. Kami namakan BAYAN LINNAS: Upacara Perbomohan Yang Dilakukan Oleh Datuk Ibrahim Mat Zin / Raja Bomoh.
Kami sempat meneliti beberapa video yang dimuatnaik di media sosial berkenaan kaedah perbomohan beliau sebelum membuat keputusan atas isu ini. Setelah kami melihat kepada amalan yang dilakukan oleh beliau, maka kami dapati bahawa amalan tersebut tidak terdapat di dalam Al-Qur’an, hadis dan juga athar yang sahih daripada generasi salafussoleh. Untuk itu, di sini kami nyatakan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa amalan yang dilakukan itu adalah satu perkara yang baru dan ia tidak diterima serta bercanggah dengan ajaran agama yang suci ini.
Daripada Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.”
(Riwayat Muslim, no. 1718)
Di dalam riwayat yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.”
(Riwayat Muslim, no. 1718)
Hadis ini adalah keadah yang agung di dalam agama dan ia merupakan sebahagian daripada jawami’ al-kalim (ringkas dan makna yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haithami :
“Hadis ini merupakan salah satu kaedah yang terdapat di dalam Islam dan manfaatnya amat luas jika dipandang dari sudut lafaznya kerana ia merupakan mukadimah umum bagi setiap dalil yang digunakan untuk menerbitkan hukum syarak.”
Hadis ini juga merupakan salah satu daripada asas yang penting di dalam Islam. Sepertimana hadis “semua amalan adalah bergantung pada niat” yang merupakan neraca kepada setiap amalan manusia samada zahir atau batin. Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya di dalam urusan beragama, maka ia bukanlah daripada agama ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syafie Rahimahullah:
“Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak atau athar, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji.”
Selain itu juga, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari Rahimahullah antara lain berkata: “Sesiapa yang mengadakan sesuatu perkara yang baru dalam urusan (agama) kami yang ia bukannya daripada urusan (agama) kami, maka ia tertolak”, yang dimaksudkan perkara baru yang diadakan di dalam agama ini terbahagi kepada dua:
Pertama: Perkara yang bukan daripada agama dan bercanggah dengan kaedah dan dalil yang sahih maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bid’ah yang sesat lagi tertolak.
Kedua: Perkara yang disokong oleh prinsip agama atau disokong dengan dalil yang sahih maka ia diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik.
Oleh itu, perlu untuk kita ketahui bahawa amalan yang dinilai bukan pada kualiti ataupun kuantiti tetapi sejauh mana kesesuaiannya menurut apa yang Allah SWT dan Rasul-Nya kehendaki. Walaupun amalan tersebut dilihat baik dan banyak dilakukan tetapi jika ia tidak berasaskan kepada peraturan syarak maka amalan tersebut adalah sia-sia.
Beberapa Isu Dalam Amalam Perbomohan Datuk Ibrahim Mat Zin
Di samping itu, antara masalah yang terdapat pada amalan perbomohan oleh beliau adalah seperti yang berikut:
- Penggunaan alatan yang pelik seperti teropong, meriam buluh dan kelapa.
Tidak didapati sebarang nas syarak mahupun amalan sahabat dan salafussoleh yang menggunakan alatan seperti ini dalam berdoa dan juga perubatan. Ia dilihat perbuatan yang sia-sia kerana penggunaan asal teropong adalah bagi melihat sesuatu objek yang jauh. Begitu juga alatan simbolik seperti meriam buluh yang tidak dapat difahami tujuannya. Perbuatan berdoa dengan memegang buah kelapa juga bukanlah sebahagian daripada adab ketika berdoa. Selain itu, buah kelapa adalah makanan yang boleh diambil manfaatnya dan bukan dibuang ke laut.
- Ritual yang meragukan
Terdapat beberapa bentuk ritual yang kami lihat, agak meragukan iaitu membaling buah kelapa ke dalam laut, merenjis air dari dalam bekas (seakan tempurung kelapa) ke dalam laut dan mengibas kain batik.
Kami nyatakan bahawa amalan sebegini tidak ada asasnya dalam al-Qur’an, hadis, mahupun athar yang sahih. Malah perbuatan membaling kelapa dan merenjis air ke laut amat menghampiri bentuk ritual membuang sial ke laut yang dilakukan oleh masyarakat yang menganut animisme di Nusantara. Walaupun perbuatan merenjis air ruqyah ke tempat yang sakit itu ada asasnya berdasarkan rawatan Rasulullah SAW pada Thabit bin Qais, malah merenjis air ruqyah ke rumah yang diganggu juga adalah dibolehkan berdasarkan fatwa sebahagian ulama’, namun merenjis air ke laut itu sama sekali tidak ada signifikannya menurut syarak.
- Kesilapan dalam bacaan ayat suci al-Quran
Jika dilihat kepada bacaan ayat al-Quran yang dibaca olehnya, didapati banyak kesalahan dari sudut tajwid dan juga sebutan makhraj huruf. Ini bukan kali pertama kerana berdasarkan beberapa rakaman video beliau sebelum ini, ia adalah kesalahan yang berulang-ulang. Sedangkan bagi rawatan ruqyah syar’iyyah, tajwid dan sebutan makhraj huruf serta kefasihan amat diteliti.
Garis Panduan Perbomohan
Kami juga meneliti Garis Panduan Perbomohan menurut Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mendapati bahawa Datuk Ibrahim Mat Zin ada melanggar beberapa garis panduannya. Kami simpulkannya dengan beberapa poin di bawah:
- Menggunakan alatan seperti teropong buluh, meriam buluh, buah kelapa yang dibuang ke laut dan mengibas kain batik adalah jauh daripada akhlak Islam yang sebenar dalam rawatan kerana boleh mengundang syak yang buruk terhadap Islam.
- Ia menimbulkan salahfaham masyarakat dunia terutamanya bukan Muslim terhadap Islam.
- Teropong buluh tersebut digunakan seakan untuk ‘melihat’ sesuatu yang tidak ada pada mata kasar dan ini bertentangan dengan Islam kerana ramalan atau tebakan atau tenungan untuk sesuatu perkara adalah dilarang dalam syarak.
- Dalam tradisi masyarakat Melayu lama, pawang angin dipercayai dalam mengelakkan malapetaka dan pakar dalam ilmu ghaib. Perbuatan beliau itu dikhuatiri menghampiri peranan pawang angin yang jelas bersalahan dengan syarak, kerana sebelum ini, beliau pernah meneropong dengan teropong buluh dan mendakwa melihat kapal terbang MH370 tersangkut di atas awan, di antara 3 buah negara.
- Perbuatan beliau telah menjatuhkan maruah beliau sendiri.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Kesimpulannya, upacara dan amalan yang dilakukan ini, tidak terdapat di dalam ajaran Islam dan ia sama sekali bercanggah dengan agama ini. Kami amat bersetuju dengan keputusan fatwa yang telah diwarta oleh negeri Perak di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada 3 Ogos 2015 yang telah memutuskan bahawa amalan tersebut adalah sesat dan haram. Ini kerana amalan yang dibawa oleh bomoh tersebut didapati terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.
Manakala di Wilayah Persekutuan pula sebagaimana Seksyen 42 (3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1974 menetapkan segala perbuatan atau amalan kebatinan, tahan diri (kuasa ghaib) telah difatwakan sebagai bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu, orang Islam ditegah daripada mengikut dan mengamalkannya.
Kami berpandangan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan oleh beliau – walaupun tidak menyerupai sepenuhnya – tetapi adalah amat hampir menyerupai amalan ilmu kebatinan dan tahan diri (kuasa ghaib) yang juga termasuk dalam peruntukan Seksyen 42 (3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1974
Sebarang tindakan sebagaimana yang telah maklum tersebut, akan menjadi bahan ketawa orang ramai dan boleh menjatuhkan nilai keintektualan dan maruah diri sendiri serta menjejaskan imej negara. Oleh itu, berwaspadalah dalam setiap tindakan dan gunakalah logik akal dan mantik dalam menyusun gerak langkah kehidupan. Kami juga merasa kesal dan tidak selesa apabila video seperti itu disebarkan terlalu luas hingga sampai ke seluruh dunia. Ini bakal memberi persepsi negatif terhadap negara kita di mata dunia serta agama Islam itu sendiri. Sedangkan, ia sama sekali tidak melambangkan ajaran Islam walaupun ayat-ayat al-Qur’an digunakan.
Maka, kami dengan tegas menyatakan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin adalah bid’ah yang wajib dihalang dari diteruskan. Kami mengambil peluang di sini menyeru kepada Datuk Ibrahim Mat Zin supaya kembali kepada landasan Islam yang sebenar dan bertaubat kepada Allah. Rujuklah kepada badan berautoriti agama seperti JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri sebelum membuat apa-apa perbuatan yang bersangkut paut dengan agama Islam. Sesungguhnya Saidina Umar pernah berkata:
الرُّجُوعُ إِلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ
Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”
Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memberi kita petunjuk dan menerima setiap amalan yang kita lakukan. Amin. Wallahua’lam
Akhukum Fillah,
SS Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: www.muftiwp.gov.my
loading...
0 Response to "Ritual Raja Bomoh bid’ah yang wajib dihalang: Mufti WP"
Post a Comment