"Insya-Allah kurang lagi beberapa hari kita nak puasa. Tak tahulah larat
ke tak tahun ni nak puasa. Harap sangat boleh puasa penuh sementara
tengah pregnant ni."
Biasanya itulah doa para ibu hamil dan menyusukan bayi (terutama yang
belum datang haid) bila Ramadan datang kembali. Semuanya berdoa agar
mudah berpuasa walaupun sarat hamil dan menyusukan anak sepenuhnya
dengan susu ibu. Biarpun ada kelonggaran yang diberikan oleh Allah SWT
terhadap dua golongan wanita ini namun keinginan untuk berpuasa penuh
tetap tersemat dalam hati para ibu.
Sebenarnya tiada halangan untuk ibu hamil dan menyusukan anak berpuasa
di bulan Ramadan. Apa yang penting mereka mesti memastikan puasa tidak
akan memudaratkan diri mereka sendiri dan anak yang dikandung serta
disusukan.
Lebih baik dapatkan nasihat daripada doktor yang memeriksa anda sebelum
membuat keputusan untuk meneruskan puasa. Jika tahap kesihatan
mengizinkan, anda boleh berpuasa seperti biasa dan perlu memenuhi
keperluan kalori daripada pengambilan makanan yang seimbang. Jika tahap
kesihatan tidak mengizinkan, anda ada kelonggaran untuk tidak berpuasa.
Selain mengambil makanan yang menyihatkan dan seimbang, pengambilan buah
kurma di bulan Ramadan adalah satu kemestian. Bukan ibu hamil dan
menyusu sahaja tetapi semua umat Islam yang berpuasa. Masing-masing nak
rebut pahala sunat makan kurma!
Hakikatnya buah kurma itu sendiri mengandungi banyak vitamin dan mineral yang baik untuk ibu hamil dan menyusukan.
Menurut Pakar nutrisi, Kevin Zahri antara kebaikan buah kurma kepada ibu hamil dan menyusu iaitu:
1. Menambah tenaga
Kurma mempunyai kandungan glukosa atau gula ringkas yang sangat tinggi
dan baik untuk badan. Kandungan glukosa yang tinggi berfungsi untuk
membekalkan kembali tenaga dalam badan ibu yang seharian berpuasa dengan
cepat. Jika memakannya ketika bersahur, kurma meningkatkan dan menambah
tenaga dalam badan untuk sepanjang hari berpuasa dan melakukan aktiviti
harian.
2. Tinggi serat
Kurma kaya dengan serat dan baik untuk penghadaman serta memberikan
tenaga yang berpanjangan. Jadi ibu hamil dapat mengelakkkan masalah
sembelit kerana kurang minum air ketika berpuasa. Selain itu serat juga
sesuai untuk memperlahankan penghadaman dan tidak memberi kejutan kepada
perut ibu yang kosong sebelum mengambil makanan lebih berat ketika
berbuka puasa.
3. Rendah sodium (garam)
Khasiat ini penting semasa kita kekurangan air. Oleh itu bagi ibu
menyusu yang berpuasa pengambilan kurma ketika berbuka dan bersahur
sangat penting untuk terus mengekalkan pengeluaran susu badan. Makanan
yang tinggi sodium akan mempercepatkan dehidrasi.
4. Tinggi potassium
Potassium penting dalam menyeimbangkan bendalir badan, termasuk kawalan denyutan jantung dan tekanan darah.
Bagi ibu hamil dan menyusu, pastikan pengambilan makanan anda ketika
berpuasa cukup untuk membekalkan tenaga dan nutrisi yang diperlukan.
Oleh kerana kurma menjadi makanan yang baik untuk membekalkan tenaga
sepanjang hari serta mengekalkan pengeluaran susu ibu, apa kata cuba
sediakan jus susu kurma ketika berbuka dan bersahur.
Cara membuat jus kurma susu
Bahan-bahan :
- 7 biji buah kurma, buang bijinya (untuk 1 hidangan)
- Air mineral secukupnya
- Susu UHT (boleh juga guna susu kambing)
- Tidak digalakkan menggunakan susu serbuk atau susu pekat manis
Caranya:
- Rendam kurma yang sudah dibuang biji di dalam air mineral hingga menutup permukaan kurma selama 1 malam. Anda boleh letak di dalam peti ais jika mahu sejuk.
- Ketika waktu sahur, tuang kurma yang sudah direndam beserta air rendamannya. Tambahkan susu UHT secukupnya.
- Kisar semuanya hingga halus.
- Minum selepas selesai makan sahur.
Selamat mencuba!
Sumber: Sehinggit
loading...
0 Response to "Khasiat Susu Kurma Yang Baik Diamalkan Sepanjang Ramadhan"
Post a Comment