"Sayang, anak menangis tu. Bagi susu dululah baru solat. Nanti tak berhenti dia nangis," suruh si suami pada isteri bila si kecil menangis tanpa henti kerana hendak minum susu.
"Alamak, bang waktu solat dah nak habis ni. Abang dukunglah baby dulu, pujuk dia. Lepas solat saya susukan dia," jawab isteri.
Tentu situasi ini kerap dilalui oleh para ibu yang ada anak kecil dan menyusukan anak dengan susu ibu. Kadangkala bila anak menangis kerana hendak menyusu, ibu terpaksa melewatkan waktu solatnya. Apakah cara ini betul mengikut hukum Islam?
Menurut penerangan seperti dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan, perkara ini perlu dilihat daripada dua situasi.
Situasi pertama, jika waktu solat berbaki amat pendek maka hendaklah diutamakan perlaksanaan solat kerana kewajipan solat sudah menjadi mudayyaq, atau sempit.
Situasi kedua, jika waktu solat berbaki masih panjang maka hendaklah si isteri menyusukan anak kerana mentaati suaminya, dan juga menghilangkan dahaga anaknya, serta menghilangkan perkara yang boleh mengganggu khusyuk solat.
Daripada Aisyah R.anha, Rasulullah SAW:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَحَضَرَ العَشَاءُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ
Maksudnya: Apabila solat hampir dilaksanakan lalu didatangkan makan malam, maka mulakan dengan makan malam.
Hadis riwayat al-Bukhari (no. 5465)
Hadis ini menunjukkan bahawa matlamat solat adalah untuk mendatangkan khusyuk. Justeru perlu dihilangkan perkara yang mengganggu khusyuk sebelum solat.
Ini dikuatkan dengan hadis lain bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ، وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ
Maksudnya: Tidak sempurna solat ketika makanan dihidangkan, dan tidak sempurna solat bagi orang yang menahan dua benda kotor (kencing dan tinja).
Hadis riwayat Muslim (no. 560)
إِنِّي لَأَدْخُلُ فِي الصَّلاَةِ وَأَنَا أُرِيدُ إِطَالَتَهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ، فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلاَتِي مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya aku sedang berada dalam solat dan aku ingin memanjangkan solat itu, kemudian aku mendengar suara tangisan bayi, justeru aku ringkaskan solatku kerana aku tahu betapa terkesannya perasaan ibu (yang menjadi makmum Nabi – pent.) itu mendengar anaknya menangis.
Hadis riwayat al-Bukhari (no. 709)
Hadis ini menunjukkan hati ibu perlu tenang dan tidak terganggu dangan tangisan bayi, perasaan rimas dan gusar kerana anaknya lapar.
Wallahua’lam.
Sumber: www.muftiwp.gov.my
loading...
0 Response to "Anak Menangis Nak Menyusu, Ibu Pula Nak Bersolat. Mana Satu Lebih Utama, Solat Atau Menyusukan Anak?"
Post a Comment