Lumrah kita sebagai manusia yang dijadikan tidak pernah terlepas dari segala salah dan berbuat dosa dalam kehidupan seharian. Setiap daripada kita pasti pernah melakukan dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar.
Walau sebesar mana sekalipun dosa kita, Allah S.W.T itu adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang yang sentiasa menerima taubat hambanya yang bertaubat dengan sepenuh-penuh taubat.
Jika tidak bertaubat, dosa ini akan menjadi beban di akhirat kelak. Namun terdapat kesalahan-kesalahan yang dilakukan dibalas dengan segera oleh Allah S.W.T terhadap pelakunya. iluminasi.com ingin berkongsi 2 dosa yang mendapat balasan segera di dunia.
Berzina
Zina adalah antara perbuatan dalam kategori dosa besar yang sangat dibenci Allah. Pelaku zina akan menjadi ketagih dan mudah terangsang membuatkan mereka tidak takut lebih-lebih lagi jika kedua-dua pihak pandai menyimpan rahsia, tidak hamil serta tidak ditangkap basah.
Sabda Rasulullah S.A.W :
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada kedua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Menurut hukum hudud, mereka yang melakukan zina akan dikenakan hukuman mengikut status perkahwinan termasuklah hukuman rejam dengan batu sampai mati bagi mereka yang sudah bernikah. Hukuman ini adalah bagi membersihkan dosa zina mereka. Antara sabda Rasulullah S.A.W mengenai zina adalah :
1. "Yang paling banyak menjerumuskan manusia ke dalam neraka adalah mulut dan kemaluan.”
2. "Tidak halal darah orang-orang Islam kecuali berlakunya salah satu daripada tiga perkara iaitu orang yang telah berkahwin berzina, orang yang membunuh dengan sengaja dan keluar daripada agamanya juga berpecah daripada jemaah orang-orang Islam”
3. "Barangsiapa berzina ataupun minum arak, Allah S.A.W cabutkan daripadanya iman, seumpama manusia menanggalkan pakaian daripada kepalanya."
Malah perbuatan yang membawa kepada zina juga dilarang, seperti dalam firman Allah S.W.T :
"Jangan kamu hampiri perbuatan zina kerana ia adalah kejahatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan." (Surah Al-Isra’ ayat 32)
Allah S.W.T akan membalas dosa zina di dunia dengan menghilangkan keceriaan pada wajah, pendek umur, menutup pintu rezeki bagi mereka yang terus berzina dan tidak bertaubat, serta dijangkiti penyakit kelamin dan penyakit yang masih ditemui penawarnya, AIDS.
Derhaka kepada ibu bapa
Sebagai anak, kita diwajibkan untuk menghormati dan berlaku baik terhadap ibu bapa, walaupun seteruk mana ibu bapa kita. Ini kerana jasa dan pengorbanan tidak akan pernah terbalas oleh kita.
Seperti dalam firman Allah yang bermaksud:
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa.” (Surah al-Ahqaaf, ayat 15).
Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
”Setiap dosa-dosa, Allah S.W.T mengakhirkan (balasannya), sebagaimana yang Dia kehendaki dari dosa-dosa itu hingga hari kiamat, kecuali derhaka kepada kedua orang tuanya, sesungguhnya Allah menyegerakan (balasan) nya bagi pelaku-nya di waktu hidup di dunia sebelum meninggal.” (Riwayat At Thabarani & Al Hakim, disahihkan oleh Al Hakim & As Suyuthi)
Perbuatan derhaka terhadap ibu bapa adalah perkara yang sangat dimurkai Allah, dan akan mendapat balasan yang sangat perit di akhirat. Namun dosa ini juga akan dibalas Allah ketika di dunia.
Lebih buruk lagi, jika ibu bapa yang dianiayai itu mengadu kezaliman anak kepada Allah S.W.T, balasan lebih disegerakan kerana doa ibu bapa tadi sangat mustajab dan menembusi langit serta didoakan oleh malaikat-malaikat supaya Allah mengabulkannya.
Dalam sabda Rasulullah S.A.W :
"Tiga doa yang tidak tertolak : doa orang tua, doa orang yang berpuasa dan doa orang yang terdzalimi" . (HR Baihaqi)
Antara balasan di dunia adalah hidup tidak tenang dan tenteram, kemelut dan masalah rumahtangga, dan sentiasa berasa tak cukup serta disempitkan rezeki oleh Allah S.W.T
Sumber : https://iluminasi.com
loading...
0 Response to "2 Dosa Yang Disegerakan Balasannya Di Dunia"
Post a Comment