Ketika saya menulis coretan-coretan pengalaman saya menunaikan haji dalam posting-posting sebelum ini, beberapa orang rakan bertanyakan tips bagaimana saya boleh menunaikan haji lebih awal di usia muda.
Sejujurnya, saya sendiri tidak menyangka menerima panggilan-Nya seawal ini, dalam keadaan kurang bersedia.
Saya menerima tawaran haji beberapa hari sebelum 1 Syawal yang lepas untuk diberi jawapan dalam masa 14 hari.
Selepas menjawab surat tawaran, perlu siapkan dokumen dalam masa kurang 2 minggu.
Selepas dokumen dihantar, hanya kira-kira 10 hari lagi tarikh penerbangan. Jadi, persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci hanyalah kira-kira sebulan sahaja.
Jadi saya ingin berkongsi beberapa tip yang boleh dijadikan sedikit panduan kepada rakan-rakan berdasarkan pengalaman yang ada.
#1 – Daftar
Ini paling penting, jika hendak pergi menunaikan haji melalui Tabung Haji. Perlu daftar terlebih dahulu melalui Tabung Haji.
Ada yang menyangka dengan membuka akaun Tabung Haji, bermakna sudah mendaftar untuk menunaikan haji. Saya pun dahulu menyangka begitu.
Tapi sebenarnya bukan begitu. Membuka akaun Tabung Haji bermaksud kita mulakan simpanan di dalam akaun Tabung Haji. Bagi membuka akaun TH, hanya perlukan minimum simpanan RM2 sahaja.
Manakala untuk mendaftar giliran menunaikan haji pula, memerlukan minimum simpanan RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji.
Selepas mempunyai simpanan minima RM1,300 barulah kita layak untuk mendaftar bagi memohon giliran menunaikan haji.
Jika sebulan kita simpan RM100, hanya memerlukan setahun sebulan sahaja untuk cukup RM1,300 supaya kita layak mendaftarkan diri untuk menunaikan haji.
Kita juga boleh gunakan wang KWSP untuk tujuan ini dan jika baru hendak daftar sekarang, giliran menunaikan haji sekitar 50 tahun akan datang.
Ya, 50 tahun akan datang. Jadi, usah bertangguh untuk mendaftarkan giliran haji.
Ketika saya menunaikan haji tempoh hari apabila saya berkongsi tentang perkara ini kepada jemaah negara lain, mereka mengerutkan dahi terkejut.
Mereka terkejut apabila mengetahui bahawa jemaah haji di Malaysia perlu “beratur” lama sebelum sampai giliran menunaikan haji.
Mungkin ini menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan ibadah haji di kalangan umat Islam di Malaysia tinggi berbanding dengan kuota tahunan yang disediakan oleh Arab Saudi untuk Malaysia.
Lama? Ya memang lama. Itulah cabaran dan ujian pertama hendak menunaikan haji. Ia sekali gus menunjukkan kita mempunyai iltizam untuk menunaikan haji.
Jika kita ada anak yang masih kecil, daftar segera. Supaya mereka tidak menerima nasib seperti kita menunggu lama untuk menerima panggilan Baitullah.
#2 – Simpanan
Kos sebenar untuk menunaikan haji ialah RM19,550. Kita di Malaysia bertuah kerana lebih separuh ditanggung oleh Tabung Haji.
Daripada RM19,550, kita hanya perlu membayar RM9,980 apabila hendak menunaikan haji kelak. Selebihnya ditanggung oleh TH.
Ya, hanya RM9,980 kos untuk menunaikan haji menggunakan Tabung Haji melalui mu’assasah Arab Saudi.
Amaun ini sungguh rendah jika kita bandingkan dengan negara-negara serantau lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei yang amaunnya RM20,000 ke atas.
Apabila saya berjumpa dengan jemaah haji negara lain, ini antara perkara yang kami bualkan dengan mereka dan apabila saya maklumkan amaun ini, rata-rata terkejut.
2 kali mereka terkejut; kejutan pertama ialah apabila mengetahui jemaah haji Malaysia perlu menunggu puluhan tahun sebelum mendapat giliran haji. Kejutan kedua apabila mengetahui jemaah haji Malaysia hanya perlu membayar jumlah tidak sampai USD2,500 utk menunaikan haji.
Bertuah sungguh rakyat Malaysia!
Baik, kembali ke topik simpanan. Langkah seterusnya selepas kita mendaftar haji adalah dengan memastikan kita mempunyai sekurang-kurangnya RM9,980 di dalam akaun Tabung Haji untuk tujuan menunaikan haji. Tidak sampai pun RM10,000.
Jika sebulan kita simpan RM100, kira-kira 7 tahun selepas kita daftar haji, duit kita akan cukup RM9,980 dengan anggaran keuntungan purata TH 6%.
#3 – Rayuan
Langkah seterusnya, ialah membuat rayuan untuk menunaikan haji.
Secara normal, tempoh menunggu untuk mendapat giliran menunaikan haji boleh mencecah sehingga 50 tahun.
Tempoh ini adalah untuk jemaah yang ingin menunaikan haji menggunakan perkhidmatan Tabung Haji melalui mu’assassah Arab Saudi.
Jadi, tidak dapt tidak, kita perlu berusaha untuk merayu supaya giliran itu dipercepatkan. Sebab dalam tempoh 10 ke-50 tahun, macam-macam perkara boleh berlaku.
Untuk mempercepatkan giliran, kita perlu buat surat rayuan ke Tabung Haji.
Selalunya 3 – 4 bulan sebelum musim haji bermula, pihak Tabung Haji mula memproses surat-surat rayuan dan menghantar surat balas. Jadi, kita perlu menghantar surat rayuan lebih awal. Sebaiknya selepas tamat musim haji, boleh siapkan surat rayuan untuk dihantar.
Pengalaman peribadi, saya mula buat rayuan kira-kira 5 – 6 tahun lepas apabila wang di dalam akaun sudah cukup untuk membayar kos menunaikan haji kira-kira RM10,000.
Dan setiap tahun juga apabila menerima surat balasan rayuan ditolak oleh Tabung Haji, kami akan hantarkan surat baru ke Tabung Haji untuk merayu menunaikan haji.
Alhamdulillah, setelah beberapa tahun merayu akhirnya rayuan kami diterima.
Setiap tahun pasti ada kuota yang kosong atas pelbagai sebab seperti;
1- Bakal Jemaah Haji Meninggal Dunia
2- Bakal Jemaah Haji Mengandung
3- Bakal Jemaah Haji Mempunyai Masalah Kesihatan
4- Bakal Jemaah Haji Menolak Atau Pelbagai Sebab
5- Kuota Ditambah
1- Bakal Jemaah Haji Meninggal Dunia
2- Bakal Jemaah Haji Mengandung
3- Bakal Jemaah Haji Mempunyai Masalah Kesihatan
4- Bakal Jemaah Haji Menolak Atau Pelbagai Sebab
5- Kuota Ditambah
Bagi tahun 1438 yang lalu, kuota Arab Saudi untuk jemaah Malaysia dikembalikan kepada 27,900 pada Januari 2017, dan kemudian pada Mac 2017, kuota itu bertambah kepada 30,200.
Dan yang terkini dimaklumkan, jumlah jemaah haji Malaysia tahun 2017 berjumlah lebih 40,000!!!
Jadi ini mungkin menjadi asbab saya dan isteri diterima untuk memenuhi panggilan-Nya tahun ini.
Sebaiknya rayuan dilakukan apabila kita sudah cukup wang simpanan untuk membiayai kos haji tadi supaya ada kredit untuk Tabung Haji menerima rayuan kita.
Sebaiknya rayuan dilakukan apabila kita sudah cukup wang simpanan untuk membiayai kos haji tadi supaya ada kredit untuk Tabung Haji menerima rayuan kita.
#4 – Datang Kursus Haji
Ini tips yang saya terima daripada seorang rakan yang juga jemaah haji. Apabila kita menghadiri kursus haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji melalui masjid-masjid dalam kariah kita, nama kita akan dimasukkan dalam senarai kehadiran.
Jadi, ia memberi kredit kepada kita apabila pihak Tabung Haji membuat penilaian terhadap rayuan haji kita.
Perkara ini tidak pernah saya sahkan dengan Tabung Haji. Ia berdasarkan pengalaman peribadi seorang jemaah yang saya temui.
Jika ada mana-mana pegawai Tabung Haji berkenaan yang membaca tulisan ini, mohon berikan maklum balas.
#5 – Doa
Ini merupakan harapan utama dan terakhir jika kita benar-benar berhasrat untuk menunaikan haji. Pergantungan kepada Allah adalah segala-galanya.
Sebaik sahaja kita sudah cukup wang di dalam akaun Tabung Haji, berdoalah supaya Allah memanggil kita menemui-Nya.
Setiap kali bulan Ramadhan pula, ambil kesempatan untuk berdoa supaya giliran kita dipercepatkan ke musim haji tahun berkenaan yang tiba sebulan selepas Ramadhan.
Doa ini bukan bermaksud doa sebelum musim haji sahaja. Terus-terusanlah berdoa sehingga hari-hari akhir penerbangan jemaah haji Malaysia ke Arab Saudi.
Ada jemaah haji yang menerima panggilan Tabung Haji kira-kira seminggu sebelum penerbangan! Ya, seminggu sahaja untuk memberi jawapan dan membuat persiapan.
Jadi, jangan berhenti berdoa. Allah pun sudah berjanji akan memakbulkan doa hamba-Nya, dengan pelbagai cara.
Pengalaman peribadi, kebetulan saya menunaikan umrah buat kali pertama pada Januari 2017, saya berdoa setiap hari agar Allah memanggil saya lagi untuk kembali datang ke rumah-Nya pada setiap lokasi mustajab di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.
Sungguh tidak disangka-sangka, Allah penuhi permintaan saya dengan cara ini; panggilan untuk menunaikan haji.
Manakala, isteri saya pula berdoa setiap malam pada bulan Ramadhan sebelum musim haji. Ketika itu beliau sedang berpantang dan selalu berjaga malam menyusukan bayi. Jadi, ada kebarangkalian salah satu doanya jatuh pada malam yang lebih baik dari seribu bulan; Lailatul Qadar.
Ada banyak kisah jemaah haji yang menerima jemputan-Nya dengan pelbagai cara. Ada jemaah haji muda dapat menunaikan haji sebagai mahram ibunya kerana ayahnya yang sepatutnya pergi bersama baru meninggal dunia.
Ada juga suami yang lambat mendaftar haji tetapi disebabkan isterinya mendaftar lebih awal dan dapat giliran, si suami dapat pergi sebagai mahram.
Dalam masa sama, ada juga yang punya wang ratus-ratus ribu tapi masih belum menerima panggilan-Nya.
Ada juga seorang sahabat saya katanya sudah ikut semua tip yang saya kongsikan di atas, malah beberapa tahun sertai kursus haji. Tapi masih belum ada rezeki dijemput oleh-Nya.
Malah ada juga yang sudah terima surat tawaran, sudah buat persediaan, kenduri doa selamat, datang ke Tabung Haji Kelana Jaya tetapi tidak dapat pergi kerana visa gagal dikeluarkan.
Point penting di sini;
Jangan Berhenti Berdoa!
Moga kita memperoleh haji yang mabrur.
Sekian, terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Sumber : tazkirah.net
loading...
Duplicated content at harga samsung galaxy j
ReplyDelete