Setiap hari, pemanduan harian kita ke tempat kerja biasanya pasti akan terserempak dengan polis sama ada mereka sedang mengawal lalu lintas atau untuk menahan pengguna yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Kami pasti sebahagian daripada anda pernah kena tahan sebelum menerima surat saman. Adalah menjadi keutamaan kepada anda supaya sentiasa dilengkapi dengan pengetahuan mengenai hak-hak anda dan bagaimana untuk menangani keadaan itu dengan cara yang paling baik.
Sekarang, kita tidak bercakap tentang anda bersalah atau tidak kerana melanggar undang-undang, tetapi hanyalah sedikit panduan ringkas dan pengetahuan tentang apa yang berhak anda lakukan apabila berurusan dengan pegawai polis.
Perlu diingatkan juga bahawa dalam kes-kes tertentu penjenayah menyamar sebagai pegawai polis, panduan ini juga boleh membantu untuk mendedahkan penipuan mereka.
Apakah yang perlu anda lakukan apabila diberhentikan oleh polis?
Jadi, jika anda sedang memandu di jalan raya dan tiba-tiba, anda ditahan pihak yang kelihatan seperti anggota polis, sama ada dalam pakaian seragam atau memperkenalkan diri mereka sebagai seorang pegawai polis tetapi berpakaian biasa, tahukah anda apa yang perlu dilakukan?
Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah meminta untuk melihat kadnya. Kad itu datang dalam empat warna yang berbeza:
- Merah – Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda.
- Biru – Berpangkat Inspektor dan ke atas.
- Kuning – Di bawah pangkat Inspektor.
- Putih – Polis Simpanan.
Apabila telah dipastikan bahawa mereka adalah pegawai polis yang sah, catatkan nama dan nombor ID pegawai itu serta nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.
Soalan polis apabila anda berhenti
Pada ketika ini, pegawai polis yang memberhentikan kereta anda meminta dokumen pengenalan. Apa yang patut anda lakukan?
Tanya mereka sama ada anda akan disaman atau tidak, dan jika ya, untuk kesalahan apa. Jika diminta apa-apa maklumat untuk tujuan pengenalan, anda hanya perlu memberikan nama anda, nombor kad pengenalan dan lesen memandu saja.
Polis meminta anda untuk mengikuti mereka ke suatu tempat
Bagaimana jika kata-kata ini diucapkan, “Sila ikut kami ke balai polis.” Anda telah diminta untuk mengikuti pegawai ke pejabat polis. Jangan panik! Sebaliknya, tanya pegawai berkenaan anda ditangkap atau tidak, dan jika tidak, anda mempunyai hak untuk tidak mendengar permintaan mereka.
Setakat ini saja panduan ringkas mengenai hak anda dan apa yang perlu dilakukan apabila berurusan dengan pihak polis. Cubalah untuk menjadi seorang pemandu yang berhemah mengurangkan kejadian buruk daripada berlaku.
loading...
0 Response to "Apakah yang perlu anda lakukan apabila diberhentikan oleh polis?"
Post a Comment