Dalam era ekonomi yang agak mencabar, rakyat Malaysia masih boleh menarik nafas lega. Walaupun berdepan dengan kos ekonomi yang semakin meningkat, perbelanjaan kita masih lagi sesuatu yang berada dalam kawalan kita sendiri. Walaupun begitu kita tidak dapat mengelakkan diri daripada mendengar rungutan sesetengah pihak yang mengatakan mereka ini golongan kurang berkemampuan.
Tafsiran golongan kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah di negara kita pula sebenarnya hanyalah untuk mereka yang berada dalam kelompok pendapatan isi rumah pada RM3000 dan ke bawah, meliputi 28.7% atau lebih 2 juta isi rumah di negara kita.
Namun, artikel ini bukan untuk membincangkan golongan ini.
Dalam ekonomi, wujud satu istilah yang digelarkan untuk golongan pembeli yang tidak mempunyai kemampuan, namun tetap mahu membeli - golongan yang tidak sabar atau 'individual who is impatience to spend.'
Istilah mudahnya, golongan-golongan penghutang yang menggunakan hutang sebagai pencepat kemampuan. Pasti ramai di antara kita yang kenal dengan golongan seperti ini. Mungkin kita sendiri salah seorang daripada mereka. Maaflah.
Kita abaikan pinjaman perumahan dan pinjaman pendidikan dalam perbincangan ini, kerana keduanya memerlukan perbincangan yang lebih besar. Hari ini mari kita fokuskan kepada isu lebih kecil - mengapa kita sanggup berhutang untuk beli sesuatu yang kita tahu di luar kemampuan kita?
Contohnya, telefon pintar. Pasti ramai di antara kita yang merasakan lebih untung membayar harga telefon paling terbaru secara bulanan selama setahun atau dua tahun, berbanding menyimpan duit sebulan dua untuk membeli telefon yang lebih murah. Mungkin ramai di antara kita yang beranggapan kita mampu membayar ansuran kereta bulanan selama 9 tahun berbanding membeli kereta terpakai pada harga bawah RM10 ribu yang memerlukan usaha simpanan selama setahun misalnya.
Persoalannya, adakah pinjaman dan ansuran bulanan itu menjadikan kita mampu?
Tidak. Usah kelirukan kemampuan sebenar kita dengan kemampuan kita membuat pinjaman. Banyak individu mengalami masalah kewangan kerana dia tidak tahu perbezaan kemampuan sebenar dengan kemampuan membuat pinjaman. Terlalu ramai orang merasakan dia mampu membeli telefon pintar terbaru pada harga RM2 ribu, RM3 ribu, RM5 ribu secara ansuran bulanan, sedangkan kemampuan sebenarnya hanya pada kadar telefon RM800 yang memerlukan dia menyimpan dan menunggu selama 2 bulan, sebelum membeli.
Kita sudah terlalu dibiasakan dengan tabiat berhutang. Dahulu, generasi dewasa era 70-an atau 80-an gajinya kecil sekitar RM300-RM750 sebulan, memerlukan mereka berhutang dengan syarikat SInger untuk membeli televisyen, sofa atau mesin jahit bila terdapat keperluan. Tabiat berhutang itu kita terus kita warisi, dengan pembukaan Courts Mammoth, pengenalan Aeon Credits Service dan kini pembayaran ansuran pembelian telefon, ketika gaji kita sudah mencecah ribuan ringgit.
Sedangkan ketika ini, kita berada pada zaman di mana teknologi sudah jadi sangat mampu milik jika kita sanggup berkorban beberapa perkara, jadi mengapa kita memilih untuk membeli TV LED 42 inci secara ansuran sedangkan TV 24 inci pun sebenarnya sudah memadai?
Di situlah berlakunya apa yang dikatakan perbuatan tidak sabar untuk berbelanja dan belanja pula, di luar kemampuan sebenar kita.Kita tewas kerana jalan lebih mudah ada melalui pinjaman.
Apa yang menakutkan, tabiat berhutang ini bukan hanya berlaku pada proses pembelian produk, malahan sudah jadi kebiasaan pula bagi pasangan yang hendak melangsungkan perkahwinan, membuat pinjaman peribadi bagi merealisasikan impian perkahwinan selama ini atau mungkin juga untuk melunaskan wang hantaran yang diminta.
Sudah terlalu ramai pasangan yang menghadapi masalah kewangan akibat perbuatan ini sedangkan solusinya cukup mudah - dirikanlah rumahtangga mengikut kemampuan.
Agak kasar jika saya katakan, apabila anda memerlukan pinjaman wang untuk berkahwin, nasihat saya lebih baik anda tangguhkan berkahwin dan kumpul duit dahulu. Andai generasi muda kita hanya mampu bernikah disebabkan sanggup terbeban dengan bayaran ansuran bulanan, jelaslah mentaliti itu sesuatu yang sangat perlu diperbetulkan, khasnya oleh pihak ibu bapa bakal pengantin.
Berkorban untuk menyimpan dan menunggu sebelum membeli, sudah tidak lagi diamalkan. Daripada ansuran kereta, rumah, pembelian telefon pintar, pinjaman pendidikan dan mungkin juga bayaran kad kredit, tidak hairanlah ramai yang mengatakan mereka tidak berkemampuan sedangkan, permintaan kita sendiri sebenarnya yang membuatkan kita tertekan.
Kepada generasi muda, ingatlah, pinjaman bukanlah jalan keluar kepada masalah tidak berkemampuan. Berkorban, menyimpan dan menurunkan permintaan, adalah solusi terbaik untuk memastikan kita tidak terbeban.
Sumber : iluminasi.com
loading...
0 Response to "Nak Buat Pinjaman Peribadi Untuk Kahwin? Baca Ni Dulu"
Post a Comment