Sepanjang melayari bahtera rumah tangga, adalah menjadi satu kebiasaan ketidaksefahaman antara pasangan. Bak kata pepatah, sedangkan lidah dalam mulut pun tergigit, inikan pula kita sebagai manusia biasa.
Pasti kadang kala akan berlakunya pergaduhan kecil. Namun saya percaya, sedikit pergaduhan dan perselisihan pendapat akan mematangkan kita dalam menjalani perhubungan sekaligus mengeratkan lagi kasih sayang sesama suami dan isteri.
Dalam pergaduhan tersebut, pasti akan berakhir dengan salah seorang merajuk, kerana terluka kononnya. Adakalanya sang suami merajuk, tetapi kebanyakannya pasti sang isteri yang merajuk. Lebih-lebih lagi isteri yang agak suka bermanja dengan suami.
Memujuk adalah SANGAT penting dalam perhubungan. Sekiranya anda mengabaikan sahaja perasaan pasangan, dikhuatiri pasangan akan menyimpan sahaja perasaan negatif tersebut dan akan memburukan lagi hubungan anda di masa hadapan.
Artikel kami hari ini adalah berkenaan langkah memujuk pasangan selepas bergaduh. Diharap, artikel ini dapat membantu kita yang sering ketandusan idea untuk memujuk pasangan sekaligus memberikan kita kesedaran dan semangat berkobar-kobar untuk membawa perubahan pada hubungan kita kearah yang lebih baik, inshaAllah.
Pernahkah anda mendengar pepatah, diam tidak bermakna kalah. Begitu juga dalam perhubungan suami isteri. Adakalanya, salah seorang harus mengalah demi keharmonian rumah tangga.
Bersikap mementingkan diri sendiri bukan sahaja merosakkan perhubungan anda, ia juga pasti mengganggu emosi dan perasaan anda. Berusahalah untuk memujuk pasangan anda.
Tidak semestinya apabila kita memujuk beliau, bermakna si dia selalu betul. Walaupun kita tampak merendahkan diri kita semasa memujuk pasangan ketika itu, jangan risau. Hakikatnya kita nampak mulia di mata Allah, inshaAllah.
LANGKAH 1.
Tuning in atau mengenalpasti emosi pasangan anda
Terlebih dahulu, sebelum melakukan apa-apa tindakan, kenalpasti dahulu emosi pasangan anda ketika itu dengan ‘tune in’. Saya berikan analogi mudah. Ingat tak kita pada radio lama?
Radio zaman atuk atau ayah kita? Radio lama terpaksa di ‘tune’ secara manual untuk membolehkan kita menjumpai frekuensi yang sesuai dengan siaran radio kegemaran kita.
Puas kita memusingkan tombolnya agar frekuensi betul-betul bersesuaian dan membolehkan siaran yang dimahukan kedengaran jelas.
Begitulah juga dengan cara menangani pasangan kita. Kita cuba untuk ‘tune in’ dengan frekuensi pasangan kita.
Kenalpasti emosi pasangan anda dengan memandang tepat pada matanya dan bertanya padanya secara lembut, “Adakah awak kecewa? Marah? Sedih? Atau sekadar merajuk?”
LANGKAH 2. Berhubung dengan menerima dan mendengar
Cuba menyelami perasaan pasangan anda. Bertanya secara lembut apa yang menyebabkan dia berperasaan sebegitu. Lebih elok sekiranya anda memeluk beliau dan mendengar apa sahaja luahan hatinya.
Dalam pergaduhan, selalunya isteri kerap menangis. Sambil memeluknya, katakan padanya, “tidak mengapa untuk menangis, tidak mengapa untuk marah”. Cuba mendengar dengan tenang apa yang cuba disampaikan oleh pasangan anda, walaupun ada antaranya anda tidak bersetuju.
Simpan dahulu apa yang ingin anda katakan. Buang terus perasaan untuk menang. Dengar dan menerima apa yang si dia mahu luahkan dengan setia.
LANGKAH 3. Reflek
Tunjukkan empati anda. Pastikan si dia mengetahui yang anda sangat memahami perasaan beliau. Kemudian, minta maaf dengan pasangan anda. Sekiranya anda seorang isteri, cium tangan suami anda.
Bagi suami pula, cium dahi isteri anda. Sebaik sahaja pasangan anda sudah bertenang, bolehlah anda menjelaskan sebab sebenar apa jua tindakan anda. Mengapa anda memilih warna hitam berbanding warna cream untuk sofa baru anda.
Mengapa anda terlupa memasukkan baju dalam bakul kain kotor pagi tadi. Mengapa anda terlupa membasuh pinggan pagi tadi. Mengapa anda pulang lewat dari tempat kerja hari ini. Apa sahaja.
Terangkan dengan lembut dan tenang agar tidak mewujudkan pergaduhan baru pula. Sekiranya pasangan tidak menyukai dengan beberapa perangai anda, tekadkan keazaman untuk berubah. Sekali sekala, cuba berjenaka dengan si dia.
LANGKAH 4. Memujuk
Kebanyakan dari kita lebih suka dipujuk semasa kita merajuk. Jangan biarkan kononnya supaya si dia cool down baru nak pujuk. Jika ditunggu, dikhuatiri pelbagai prasangka buruk bermain di dalam hatinya.
Ditambah lagi dengan hasutan syaitan yang suka apabila suami isteri bergaduh. Dari perkara kecil, pasti akan bercambah menjadi perkara besar. Jangan sekalipun merasakan bahawa itu perbuatan sia-sia. Ketahuilah, ada pahala memujuk yang Allah sediakan.
Jadi, bagaimana untuk memujuk pasangan anda?
1) Puji si dia
Apabila bergaduh, kita kerap terlupa segala kebaikan yang dimiliki oleh pasangan kita. Disebabkan oleh satu perkara kecil yang menyebabkan kita marah, segala keburukan pasangan kita akan diungkit.
Elakkan melakukan perkara tersebut. Puji pasangan anda tentang apa jua yang anda sukakan padanya. Cantik, bergaya, pandai masak, comel, manja. Atau kuat, bergaya, rajin menolong di dapur, pandai melayan anak, kacak. Apa sahaja.
2) Beri hadiah
Hadiah adalah antara cara yang sangat berkesan untuk memujuk pasangan anda terutamanya untuk kaum wanita. Tidak perlu dengan hadiah yang mahal. Hadiah yang kecil pun sudah memadai sekadar untuk memberitahunya anda sangat menyayangi dia.
3) Mengajak melakukan apa yang dia suka
Suami saya kerap mengajak saya melakukan aktiviti yang saya sukai untuk meredakan pergaduhan. Berbasikal, bermain ping pong atau memasak bersama-sama. Apa sahaja yang saya sukai.
Semestinya saya akan menolak untuk menguatkan keegoan saya. Namun beliau memaksa. Walaupun penuh dengan keegoan, saya akui, dengan melakukan aktiviti yang saya sukai bersamanya, perasaan marah tersebut dapat berkurang sedikit demi sedikit.
4) Beri kejutan
Bawa pasangan anda keluar makan malam, membawanya ke pusat peranginan, hantar sejambak bunga di pejabat beliau atau apa sahaja bentuk kejutan yang boleh menggembirakan pasangan anda.
5) Mengucap kata-kata indah
Kaum lelaki tentunya terkenal dengan pandai mengucapkan kata-kata indah. Sekiranya anda pandai berkata manis sewaktu diawal cuba memperisterikan isteri anda, sudah pasti tidak mustahil untuk anda mengaplikasikan skil yang sama untuk memujuk beliau.
6) Bergurau senda
Cuba buatkan pasangan anda ketawa. Anda pasti mengetahui apa yang mampu membuatkan si dia ketawa. Buat lawak, geletek manja ataupun buat gaya yang kelakar.
7) Berdoa
Berdoa adalah cara yang paling penting dalam meredakan suasana rumahtangga yang ribut. Namun, ini tak bermakna anda hanya berdoa tatkala ditimpa masalah sahaja. Sentiasalah berdoa demi kebahagiaan rumahtangga. Lazimi menyebut zikir :
Ya Aziz..
Ya Jabbar..
Ya Mutakabbir..
Ya Jabbar..
Ya Mutakabbir..
Semoga bermanfaat. Wassalam
Sumber : http://www.bidadari.my
loading...
0 Response to "4 Langkah Memujuk Pasangan Selepas Bergaduh Dari Sudut Psikologi"
Post a Comment