SAIDATINA Aisyah r.a bertanyakan kepada Rasulullah SAW “bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia?” baginda Rasulullah SAW menjawab “ dengan akalnya” saidatina Aisyah bertanya lagi “bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat” baginda Rasulullah SAW menjawab lagi “dengan akalnya” lantas Aisyah r.a bertanya “bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya?” Lalu baginda Rasulullah menjawab “seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Menerusi rancangan Islam itu Indah di IKIMfm hari Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata amat penting cara seseorang berfikir kerana fikiran kita amat mempengaruhi hati kita. Begitu juga dalaman diri kita menentukan luaran kita, kerana seseorang yang hatinya tidak tenang tidak akan mampu tersenyum dengan ikhlas atau bertindak dengan baik.
Pada waktu-waktu tertentu hati mencorakkan cara kita berfikir tetapi dalam banyak waktu, akal menentukan corak dan bentuk fikiran dan seterusnya hati kita, sebab itu golongan bijak pandai menyebut akal itu pelita bagi hati, ada juga menyatakan akal itu telinga bagi hati, Jika apa yang didengar dan dilihat itu adalah perkara yang baik nescaya seseorang itu akan dapat menuai sebanyak mungkin kebaikan. Begitu juga jika seseorang itu memenuhi ruang fikirannya dengan kejernihan ilmu dan cara berfikir yang baik nescaya akan dapat menghasilkan corak pemikiran yang positif dan berfaedah sahaja.
Pakar psikologi menyebut, manusia sering bazirkan masanya kepada perkara yang sama. Banyak orang fokus kepada hasil bukan proses. Bagaimanapun setiap orang yang mendapat hasil yang bagus adalah kerana prosesnya yang sempurna. Sebagai contoh seorang yang jahat kemudian berubah menjadi orang alim yang baik. Ianya berlaku kerana proses-proses yang dilalui seperti mendekatkan diri dengan orang-orang alim, banyak menuntut ilmu dan yang paling utama adalah kerana proses mujahadah dan istiqamah yang dilalui sehingga hasilnya dapat menjadi seorang insan yang baik dan berilmu.
Justeru, apa yang kita lakukan setiap hari itu akan menentukan hasil yang akan kita perolehi. Sekiranya dalam waktu-waktu yang kita miliki hanya dibazirkan dengan perkara yang sia-sia, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa kejayaan melainkan hanya kegagalan. Pakar menyebut, kegagalan seseorang itu disebabkan oleh tidak menggunakan waktu dengan sebijaknya. Orang yang berjaya akan menggunakan masa dengan rutin yang produktif seperti mengisi waktu dengan ilmu yang serius, kuat bekerja, rajin mendekatkan diri dengan amal ibadat kepada Allah SWT.
Antara perbuatan yang menentukan kita memperolehi hasil kejayaan bagi diri kita ialah bagaimana cara kita berfikir. Corak fikiran yang positif akan mempengaruhi hati yang stabil dan seterusnya mempengaruhi setiap tindak tanduk kita. Sebab itulah kita perlu sentiasa mengawal corak fikiran kita kerana ianya mempengaruhi emosi dan tindakan yang bakal kita ambil.
Cerdik pandai menyebut kita adalah fikiran kita dan bukan apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Ramai orang berfikir dan mendakwa dirinya positif dan baik, tetapi ia tidak diterjemahkan dalam corak fikirannya. Ertinya di sini, apa yang kita fikir, yang diucap melalui mulut, digerakkan melalui rasa dan emosi dan ditunjukkan melalui perbuatan itulah yang disebut sebagai corak fikiran kita bukan perasaan atau penilaian kita terhadap diri sendiri.
Hakikatnya, kita sendiri boleh membuat penilaian terhadap diri sendiri, iaitu sepanjang hari berapa banyak kita bersangka baik terhadap orang lain? Sejauhmana kita positif dengan persekitaran kita? dan bagaimana kita berdepan dengan situasi-situasi yang dilalui?. Sebagai contoh seperti gula dan semut dalam situsi berhubung rezeki. Ada orang berfikir mahu seperti semut iaitu gigih dan rajin dalam mencari rezeki. Namun ada pula yang berfikir cara yang lain iaitu seperti gula. Cara berfikir seperti gula tentunya akan berfikir dan bertindak bagaimana yang perlu dilakukan untuk ‘memaniskan’ diri agar dengan bertindak baik dan ‘manis’ itu akan menarik lebih banyak rezeki yang datang.
Oleh itu, kita akan selalu bertindak baik, berfikiran baik akan setiap perlakuan dan kata-kata kita seperti gula yang manis yang boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain yang datang kepada kita dan seterusnya boleh mendatangkan rezeki buat kita juga.
Begitulah dalam hidup ini, dalam apa juga peranan kita di muka bumi ini sama ada sebagai seorang anak, suami atau isteri atau sesiapa sahaja. Dalam mengejar bahagia dalam rumahtangga umpamanya jangan mencari bahagia itu dalam perkahwinan sebaliknya jadikan perkahwinan itu sebagai jalan ibadah untuk mencapai kebahagiaan. Begitulah corak kita berfikir, jadilah seperti gula yang sentiasa memberi rasa manis sehingga menarik perhatian sesiapa sahaja dan akhir natijahnya mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.
SUMBER:IKIM
loading...
0 Response to ""JADILAH SEPERTI GULA" BAGAIMANA GULA MENGAJARKAN KITA TENTANG HIDUP? "
Post a Comment