SINDIRAN AGAR KITA TIDAK MENJADI JIRAN YANG MENYUSAHKAN!! BACALAH

Kongsikan di


Ada yang memberi istilah 'jiran dari neraka’ terhadap orang sebelah yang memang sudah tidak boleh dirawat lagi lukanya. Percayalah, tidak mudah sebenarnya untuk mencapai tahap 'terbilang' itu.
Ia memerlukan sikap pentingkan diri sendiri yang luar biasa dan 'gampang' hingga jiran tidak sanggup lagi bersemuka, apatah lagi mendengar namanya disebut.
Berikut adalah senarai 10 petua Merrepak mengenai cara-cara menyakitkan hati jiran tetangga ke tahap maksimum, sekali gus melayakkan anda meraih anugerah 'jiran dari neraka’:
1. Liat membayar yuran keselamatan
Selepas musim pecah rumah, jiran tetangga terutama yang kena pecah bersatu hati mewujudkan sistem kawalan keselamatan. Tentunya kena bayar yuran bulanan untuk menampung kos gaji pengawal atau agensi yang dilantik.
Memandangkan anda tidak pernah jadi mangsa pecah rumah, anda buat-buat tidak tahu. Tidak perlu bayar yuran. Bayar hanya bila rumah anda kena pecah.
2. Parking depan rumah
Halaman rumah hanya boleh muat dua kereta. Mana hendak letak. Takkan hendak letak di hujung blok. Kita letak sahaja depan rumah jiran. Pandai-pandai jiran itu letak kereta dia di hujung blok.
3. Tanam pokok melangkaui sempadan
Berbudi kepada tanah memang digalakkan. Tanam pokok bunga berpuluh pasu.
Kemahiran dikumpul selama ini meyakinkan kita untuk melihat pokok bunga raya atau bunga kertas berkembang luas. Kalau terlajak ke rumah sebelah, nasiblah. Jangan sesekali jiran berani potong. Kalau potong, nescaya berantakan.
4. Tanam pokok akar timbul
Ada lagi ruang tanah di belakang rumah. Elok tanam pokok mangga. Subur pasti subur sebab tangki septik pun ada di bawah tanah. Akar pokok mangga pasti timbul hingga menyebabkan dinding dan lantai rumah jiran merekah dan retak. Kita tidak salah. Itu semula jadi pokok. Nanti berbuah, kita kongsi makan buah.
5. Nampak benda aneh, suruh orang periksa
Kita pasang kamera CCTV canggih. Sambung terus ke telefon pintar. Jadi bila nampak orang mencurigakan, kita beritau jiran. Suruh dia periksa. Tidak kisahlah kalau orang itu bersenjata.
Pandai-pandailah jiran itu pertahankan diri atau lapor polis. Kita dah sediakan peralatan canggih untuk pantau penjenayah. Mahal pula itu.
6. Memandang hina orang tidak ke surau
Apalah jiran sebelah ini. Sudah lanjut usia tetapi liat ke surau. Tengok kita ini yang rajin ke surau. Lepas solat, pakat-pakat duduk anjung surau borak sambil hisap rokok. Boleh gosip.
Bertukar-tukar resipi. Tanya pasal anak. Anak kita, anak orang. Jangan tanya rumusan apa penceramah jemputan sampaikan. Hendak tahu, silalah datang surau, kata kita kepada jiran.
7. Tidak membuka lampu rumah
Apalah kedekut sangat jiran sebelah hendak pasang lampu bila balik kampung. Kita pula kena jaga rumah dia. Bila kita balik kampung, kita pasang. Tak tahulah dia tengok atau tidak rumah kita.
8. Berebut jawatan Pak Jabit
Pak Jabit adalah satu watak dalam filem Zombie Kg. Pisang. Seorang yang suka berceloteh terutama bila dapat mikrofon. Kita tidak macam itu. Kita borak dalam WhatsApp sahaja. Berjela-jela. Bersambung-sambung. Tidak kiralah sama ada orang hendak baca atau tidak.
9. Malas hendak campur konon tapi heboh sekampung
Awal-awal lagi kita isytihar diri menjadi Siam. Bila Jepun menyerang, kita bagi dia lalu negara kita untuk takluk Tanah Melayu. Betullah kita tidak campur. Tapi ia tidak meliputi larangan untuk kita mengulas mengenainya. Kita berhak mengulas sejajar dengan dasar kebebasan bersuara.
10. Tidak peduli larangan WhatsApp
Ada yang sudah beri peringatan agar grup WhatsApp kejiranan haruslah mematuhi Rukun Negara. Maksudnya, jangan sentuh hal perkauman dan agama. Ada yang tambah lagi, jangan sentuh hal politik secara langsung atau sindir-sindir.
Tetapi disebabkan kita ini bebas bersuara, kita jangan peduli. Kita buatlah WhatsApp serupa dengan Facebook. Kalau salah, kita minta maaf sahaja. Esok ulang balik. Siapa peduli.
Nota Merrepak :
Untuk mengelak daripada tohmahan terutama golongan yang lemah penguasaan Bahasa Melayu, artikel di atas adalah berbentuk sarkastik atau sindiran halus kepada kita semua, dan tidak seharusnya dijadikan panduan untuk anda laksanakan betul-betul dalam hidup berjiran. Merrepak tidak bertanggungjawab atas sebarang tindakan Exit Group daripada sesiapa yang terasa hati.
SUMBER: © Utusan Melayu (M) Bhd 
loading...

2 Responses to "SINDIRAN AGAR KITA TIDAK MENJADI JIRAN YANG MENYUSAHKAN!! BACALAH"

  1. Ada sesetengah jiran saya yang tidak mahu bayar yuran maintenance walaupun cuma RM20 saja. Tapi bila ada apa-apa rosak, mereka orang pertama yang buat aduan. Aiii....
    Liza razak

    ReplyDelete
  2. sebagai jiran mestilah kita bertolak ansur antara satu sama lain baru boleh sama-sama hidup dalam kehidupan yang aman.
    Zamrud

    ReplyDelete