5 SEBAB MENGAPA SOLAT BERJEMAAH DITUNTUT RASULULLAH

Kongsikan di

Salah satu daripada rukun Islam ialah mengerjakan solat fardhu sebanyak 5 kali sehari semalam. Ia diumpamakan sebagai tiang agama. Jika roboh tiang itu, maka rosaklah agamanya. Solat boleh dilaksanakan secara bersendirian namun amat digalakkan untuk dilakukan secara berjemaah. Malah solat berjemaah memberikan banyak kelebihan kepada seluruh umat Islam.

#1 – Menurut Perintah Allah

Allah S.W.T telah memerintahkan Rasulullah S.A.W untuk solat berjemaah semasa dalam medan perang sebagaimana di dalam surah al-Nisaa’ ayat 102. Ini menunjukkan adanya keutamaan untuk melaksanakan solat semasa atau tidak berada dalam medan perang.

#2 – Mendapat Pahala Berganda

Mereka yang bersolat secara berjemaah dijanjikan pahala berlipat kali ganda.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Demikian itu, kerana mereka berwuduk dan menyempurnakan wuduknya dengan betul. Kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosanya. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya malaikat): “Ya Allah, kasihanilah ia.”
Dan (para malaikat sentiasa mendoakan) selama ia menanti solat.
(Riwayat Muslim)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya solat berjemaah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian.”
(Riwayat Muslim)

#3 – Mencontohi Rasulullah

Semasa baginda tinggal di Mekah selama 13 tahun, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan kerana pada masa itu umat Islam diancam oleh pihak kafir Quraisy. Ini menyebabkan solat hanya dapat dilaksanakan secara bersembunyi atau bersendirian.
Oleh itu, selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah S.A.W mula mendirikan solat berjemaah dan secara terang-terangan.

#4 – Digeruni Syaitan

Syaitan tidak suka umat Islam solat berjemaah kerana di dalam solat secara berjemaah itu adanya kesatuan dan persaudaraan selain pahala yang dijanjikan Allah S.W.T. Malah, ketika iqamat, syaitan lari bertempiaran.
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidaklah tiga orang di suatu desa atau lembah yang tidak didirikan solat berjemaah di lingkungan mereka, melainkan syaitan telah menguasai mereka. Kerana itu tetaplah kalian (solat) berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan menerkam kambing yang sendirian (jauh dari kawan-kawannya).”
Jika tidak kerana hebatnya solat berjemaah, pasti syaitan tidak berusaha untuk menghalang umat Islam daripada melakukannya.

#5 – Mengeratkan Kasih-Sayang Dan Persaudaraan

Solat yang dilakukan secara beramai-ramai dalam satu saf yang saling rapat antara satu sama lain dapat mengeratkan persaudaraan melalui persahabatan. Pertemuan yang menerbitkan kesatuan ummah dan kasih-sayang. Di dalamnya ada rasa hormat kepada ketua iaitu imam dan juga persefahaman antara satu sama lain. Oleh itu, solat berjemaah dapat menampakkan syiar Islam.
Solat adalah yang pertama sekali dihisab dari amal perbuatan manusia pada hari kiamat kelak. Ini termasuk solat-solat sunat yang mungkin dapat menampung kekurangan pada solat fardhunya.
Oleh itu, marilah kita melakukan yang terbaik dalam solat dan meraih keuntungan daripadanya , iaitu dengan menunaikannya solat secara berjemaah.

Sumber: Tazkirahnet
loading...

0 Response to "5 SEBAB MENGAPA SOLAT BERJEMAAH DITUNTUT RASULULLAH"

Post a Comment