SAYANGILAH MEREKA HARGAILAH MEREKA SELAGI BERNYAWA

Kongsikan di

Pengorbanan ibu bapa yang tidak terkira nilainya, tidaklah wajar dipandang remeh oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, sentiasa punya peluang buat anak-anak berbakti selagi usia ibu bapa belum terhenti.
Lebih penting bagi si anak adalah redha Allah pada dirinya terletak pada redha ibu bapa. Jadi di sini saya kongsikan 7 cara berbakti kepada ibu bapa semasa hayatnya dalam usaha kita mencapai redha.

#1 – Memberi Kasih Sayang

Timbal balas paling mudah yang dapat dilakukan bagi seorang anak kepada ibu bapa adalah memberi kasih sayang kepada mereka. Sebagaimana ibu bapa kita pernah melimpahkan kasih sayang dan menatang kita bagai minyak yang penuh, begitulah cara ekspresi kasih kita kepada mereka. Kita boleh merajinkan diri untuk berbual-berbual dan menghiburkan hati ibu bapa.

#2 – Memberi Perhatian

Ibu bapa yang semakin hari meniti usia tua, akan semakin sensitif perasaannya. Mereka lebih cenderung berasa sunyi apabila anak-anak yang membesar dan semakin mandiri mengabaikan mereka sendirian tanpa perhatian. Ini akan mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental iu bapa tersebut.
Contoh yang dapat kita lakukan dalam memberi perhatian terhadap ibu bapa adalah sentiasa meluangkan masa untuk bersama mereka dengan aktiviti bekeluarga. Sekecil-kecil perkara yang dapat dilakukan sekiranya seorang anak berada jauh daripada ibu bapa adalah dengan menghubungi mereka untuk bertanya khabar.

#3 – Memenuhi Hajat

Memenuhi hajat ibu bapa menjadi keutamaan berbanding melakukan tugas lain. Malah berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang sebagaimana yang diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim.
Ibnu Umar berkata : Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW,
“Apakah perbuatan yang disukai oleh Allah?”
Lalu Baginda bersabda, “Solat pada waktunya.”
“Kemudian apa?” tanya saya lagi.
Baginda menjawab, “berbakti kepada kedua ibu bapa.”
Saya bertanya, “apa lagi?”
Baginda menjawab, “berjihad pada jalan Allah.”

#4 – Melakukan Yang Mereka Gemari

Selagi mana arahan daripada ibu bapa tidak bertentangan dengan syariat Islam, seharusnya kita melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Jika kita melakukan yang sebaliknya, ini seperti menderhaka. Anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya malah disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Dalam hadis diriwayatkan al-Hakam yang bermaksud:
“Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.”

#5 – Bertutur Dengan Lemah Lembut

Sebagaimana Allah sebutkan di dalam Al-Quran yang bermaksud,

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah al-Isra’: 23)

Bertutur dengan lemah lembut adalah salah satu cara bagi menjaga perasaan ibu bapa. Tentu saja ibu bapa akan senang hati terhadap respon yang diberikan kepada setiap pertuturan lemah lembut anak-anak, lantas komunikasi yang harmoni dan berkesan dapat dihasilkan.

#6 – Mendoakan Kebaikan Untuk Ibu Bapa

Sebagai seorang anak, perlunya kita untuk sentiasa mendoakan kebaikan ibu bapa kita. Malah amalan mendoakan mereka tidak habis untuk dunia sahaja, tetapi akhirat mereka juga. Antara doa yang lazim kita amalkan adalah sebagaimana dalam firman Allah SWT yang bermaksud,

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Isra’: 24)

#7 – Menghulurkan Bantuan Kewangan

Sebagai anak yang punya kudrat yang lebih kuat berbanding ibu bapa, seeloknya hasil daripada usaha pendapatan kita dihulurkan kepada ibu bapa semampunya. Ada dalam kalangan ibu bapa yang tidak mampu lagi membanting tulang bagi meraih pendapatan lagi atas faktor lanjut usia. Lagi pula seusia mereka seharusnya tidak lagi terbeban dengan kerja-kerja berat tetapi bersenang lenang dan menikmati ibadat.
Mungkin 20, 30 atau 40 peratus pendapatan kita dapat dikongsikan bersama mereka mengikut kemampuan. Hal ini kerana dengan izin Allah rezeki kita akan bertambah berkat bilamana ibu bapa mendoakan kembali kebaikan buat kita.

Rumusan

Konklusi yang dapat saya berikan tentang bakti daripada anak kepada ibu bapanya adalah untuk sama-sama melakukan yang terbaik selagi mana tidak bercanggah dengan peraturan Tuhan. Keuntungan berganda buat anak-anak yang berbakti pasti menanti selain keberkatan dalam hubungan kekeluargaan yang bahagia bukan di dunia sahaja malah di akhirat, dengan izin-Nya. Akhir kata,
“Yang namanya cinta pada orang tua itu harus pada keduanya, bukan pada salah satu.”
Baik buruk salah seorang daripada orang tua kita, sama diterima. Atas sebab mereka adalah individu yang Tuhan jadikan untuk mewujudkan kita. Datangnya kita di dunia Tuhan kurniakan melalui mereka berdua. Pasti Tuhan punya sebab yang tersendiri, untuk Tuhan letakkan kita sebagai anak mereka. Sama-sama kita berusaha sehabis baik berbakti selagi mereka masih bernyawa. Mari!
Sumber: Tazkirahnet
loading...

0 Response to "SAYANGILAH MEREKA HARGAILAH MEREKA SELAGI BERNYAWA"

Post a Comment