Tahun 419H, Kota Naisabur menjadi saksi kelahiran ulama hebat dan terkenal ini. Imam Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf bin Abdullah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyuyah al-Juwaini al-Naisaburi.
Beliau lebih dikenali sebagai Imam al-Juwaini dan Imam Haramain merupakan seorang ulama besar Mazhab Syafie.
Gelaran ‘Imam Haramain’ dinisbahkan kepadanya bermaksud imam dari dua buah kota suci, iaitu Mekah dan Madinah.
Ini kerana beliau pernah mengajar dan menjadi imam solat di dua buah kota suci itu selama empat hingga lima tahun.
Beliau membesar di bawah asuhan ibu bapa yang hebat. Bapanya, Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Abdillah bin Yusuf al-Juwaini merupakan seorang ulama besar dan pakar dalam bidang Tafsir, Fiqh, Bahasa Arab dan Kesusasteraan.
Manakala ibunya pula adalah seorang hamba wanita yang solehah dan berakhlak tinggi. Tambahan lagi, Imam Haramain dikelilingi oleh individu yang hebat.
Bapa saudaranya, Syeikh Abu Hasan Ali bin Yusuf bin Abdillah bin Yusuf, juga merupakan salah seorang ulama besar ketika itu dan dikenali sebagai ‘Syeikh Hijaz’.
Bapa Imam Haramain seorang yang amat berhati-hati terhadap sumber makanan anak-anaknya. Beliau sangat menjauhi sumber makanan yang syubhah dan haram.
Suatu hari, semasa masih kecil Imam Haramain menangis, sedangkan ibunya sedang memasak.
Menurut pendapat lain, waktu itu ibunya sedang sakit. Lalu, seorang hamba wanita yang juga jirannya ada di rumah itu, segera menyusuinya bagi menghentikan tangisnya.
Bapa Imam Haramain yang baru pulang dan terlihat akan kejadian itu sangat terkejut dan kecewa kerana anaknya disusui oleh wanita lain tanpa keizinannya. Abu Muhammad Abdullah dengan tegas berkata;
“Hamba wanita ini bukanlah milik kita, jadi kita tidak boleh mengambil manfaat darinya tanpa meminta izin terlebih dahulu.”
Dengan segera, beliau mendapatkan anaknya lalu membalikkan tubuh bayinya itu, menekan perutnya dan memasukkan jari ke dalam mulut agar dapat dimuntahkan susu yang diminumnya tadi.
Abu Muhammad Abdullah berkata lagi dengan tegas;
“Aku lebih rela melihat anak ini mati daripada tubuhnya dirosakkan dengan susu orang lain yang tidak diketahui unsurnya.”
Begitulah ketegasan bapa Imam Haramain terhadap sumber makanan yang masuk ke dalam tubuh anaknya kerana makanan akan mempengaruhi segala perlakuan, tindakan, akhlak, peribadi bahkan ibadah seseorang.
Imam Haramain hidup di bawah jagaan dan pendidikan keluarganya, terutama bapanya, bahkan dikelilingi oleh para ulama besar pada zamannya di Naisabur.
Semakin meningkat dewasa, semakin banyak beliau menuntut pelbagai ilmu agama. Bapanya adalah guru pertama buatnya, bahkan beliau turut memanggil bapanya sendiri dengan panggilan ‘syeikh’.
Selain itu, beliau turut berguru dengan alim ulama yang lain, antaranya, Syeikh Abul Qasim al-Isfarayini al-Iskaf (guru ilmu Kalam), Syeikh Abu Abdullah al-Khabbazi (guru ilmu Qiraat al-Quran), al-Imam az-Zahid as-Syeikh Fadhlullah bin Ahmad bin Muhammad al-Maihani, Al-Qadhi as-Syeikh Abu Ali Husain, al-Hafiz Abu Naim al-Ashfihani, Imam Baihaqi dan ramai lagi.
Tahun demi tahun, Imam Haramain ‘tumbuh’ sebagai seorang ulama terkenal di zamannya. Hal ini turut diakui oleh al-Hafiz Abdul Ghafir al-Farisi; seorang ahli hadis yang hidup bersamanya di kota Naisabur;
“Beliau adalah imam bagi semua imam secara mutlak, disepakati keimanannya di belahan timur dan barat.”
Bahkan, Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali sanggup meredah kota Thus menuju ke Naisabur semata-mata untuk menimba ilmu dengan Imam Haramain.
Ini semua kerana berkat didikan dan asuhan daripada kedua-dua ibu bapanya yang menitikberatkan pendidikan dan sumber makanan untuk anak mereka. Selain cinta Imam Haramain yang tinggi terhadap ilmu.
Pernah suatu ketika, Imam Haramain berada dalam suatu majlis diskusi. Secara tiba-tiba, beliau seakan gagap untuk menjawab pertanyaan yang diajukan.
Melihatkan kejadian itu, seorang hadirin bertanya kepadanya mengenai hal tersebut. Imam Haramain menjawab;
“Ini merupakan kesan sisa susu yang aku minum daripada seorang wanita semasa aku kecil dahulu.”
Selain mengajar, beliau turut meluangkan masa dengan menulis beberapa penulisan dalam pelbagai bidang keilmuan.
Antara karyanya ialah, kitab al-Waraqat (bidang usul fiqh), kitab al-Irsyad, al-‘Aqidah an-Nizamiyyah, Nihayatu al-Matlab fi Diraya al-Mazhab (kitab Fiqh) dan lain-lain.
Pada 25 Rabiulakhir 478H, Imam Haramain wafat pada usianya 59 tahun dan dikebumikan di tempat kelahirannya.
Kebijaksanaan dan keperibadian Imam Haramain membuktikan bahawa unsur pemakanan sangat penting.
Makanam bukan sekadar untuk memberikan tenaga dan mengenyangkan perut, tetapi memberi kesan besar terhadap tumbesaran rohani seseorang.
Sumber : tazkirah.net“Perut adalah tempat makanan. Jika engkau memasukkan ke dalamnya makanan yang halal, maka akan lahir amal soleh daripada semua anggota tubuh. Jika engkau memasukkan ke dalamnya makanan yang syubhat, maka akan tersamar jalan Allah daripadamu. Jika engkau memasukkan yang haram, maka akan wujud hijab antara dirimu dengan Allah s.w.t.”Kata Mutiara Imam Muhammad bin Daud ad-Daqqi
loading...
0 Response to "Imam Haramain; Didikan Ibu Bapa Yang Menjauhi Daripada Sumber Syubhah"
Post a Comment