Daripada Amirul Mukminin Saidina Uthman bin Affan r.anhu;
“Aku temui manisnya beribadah dalam empat perkara. Pertama, dalam menunaikan fardhu (kewajipan) Allah. Kedua, ketika menjauhi larangan-larangan Allah. Ketiga, ketika melakukan amar makruf dan mencari pahala Allah. Keempat, dalam nahi mungkar dan menjaga diri daripada murka kemarahan Allah.”
Petikan kata-kata Saidina Uthman ini menunjukkan kepada kita bahawasanya kemanisan ibadah itu dapat diperolehi daripada perkara berikut;
1. Apabila kita melaksanakan segala perintah Allah.
2. Apabila kita menjauhi segala larangannya sama ada perkara yang kecil atau besar.
3. Apabila kita menyeru kepada perkara yang makruf iaitu segala perkara yang dianggap baik oleh syara.
4. Apabila kita melarang diri daripada perkara yang mungkar iaitu segala perkara yang tidak diredai oleh Allah SWT, sama ada dari segi ucapan mahupun perbuatan, serta sentiasa menjaga diri daripada mendapat kemurkaan atau kemarahan Allah SWT.
Saidina Uthman bin Affan merupakan salah seorang sahabat yang rapat dengan Baginda Nabi SAW. Beliau lahir dari keluarga yang kaya raya dan berpengaruh dari suku bangsa Quraish dan salasilah keluarganya termasuk dalam kalangan Bani Umayyah.
Beliau yang memiliki keperibadian serta akhlak yang mulia ini merupakan seorang yang dermawan, penyabar, jujur, rendah hati (tawaduk) serta taat dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Kedermawanan Saidina Uthman dapat dilihat ketika Perang Tabuk iaitu separuh daripada perbelanjaan peperangan ketika itu ditanggung oleh beliau. Bahkan, seluruh hartanya termasuk unta dan kuda diwakafkan untuk jalan Allah.
Setelah memerintah selama 12 tahun, akhirnya pada 17 Zulhijjah tahun 35 Hijrah, Saidina Uthman syahid kerana dibunuh oleh pemberontak yang mengepung kediamannya. Selama masa pemerintahnnya, Saidina Uthman berjaya meninggikan syiar Islam di Armenia, Khurasan, Sajistan sehingga ke daerah Afrika Utara.
Manakala sumbangan terbesar Saidina Uthman dalam sejarah Islam adalah pembukuan dan pengumpulan naskah asli Al-Quran dan hasilnya, banyak salinan Al-Quran daripada teks asli yang telah dikumpulkan itu dapat diedarkan ke seluruh dunia Islam sehinggalah ke hari ini.
Semoga usaha, jasa dan pengorbanan yang beliau lakukan suatu masa dahulu bernilai di sisi Allah seterusnya menempatkannya ke tingkat yang tinggi di sana nanti. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya.
Moga pesanan Saidina Uthman ini dapat kita pasakkan dalam fikiran agar sentiasa beringat untuk melakukan kebaikan sama ada kecil atau besar, lalu tumbuh menjadi kemanisan dalam hati untuk terus beribadah kepada Allah SWT. Wallahua’lam.
Sumber : tazkirah.net
loading...
0 Response to "Manisnya Beribadah Dengan 4 Perkara Ini"
Post a Comment