Hikmah diutus Rasul kalangan manusia

Kongsikan di
Image result for Hikmah diutus Rasul kalangan manusia


Para sahabat Nabi adalah generasi paling faham hadis Nabi SAW. Mereka beriman dan mematuhi apa sahaja yang dikhabarkan Nabi SAW tanpa sebarang bantahan dan keraguan. Mereka terus beriman tanpa tangguh.
Berbeza dengan kita pada hari ini, kebanyakan kita sering memberi pelbagai alasan untuk tidak beramal dan mencontohi sunnah dan akhlak Baginda. Antara alasan yang sering kedengaran adalah seperti sahabat Nabi hidup di zaman lain, kita hidup di zaman lain, kita tidak sama seperti mereka dan sebagainya. Jika begitu alasannya, maka tidak ada apa yang boleh kita ambil dari sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Untuk apa ALLAH menceritakan tentang kedudukan dan kemuliaan generasi ini. Untuk apa ALLAH menceritakan bahawa Muhammad itu uswatun (suri tauladan) yang terbaik bagi kita contohi. Untuk apa ALLAH menceritakan dalam al-Quran bahawa Muhammad itu manusia biasa, “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku ini hanya manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku.” (Surah Al Kahfi, 18: 110).
ALLAH menjadikan Muhammad daripada kalangan manusia biasa supaya memudahkan kita mengikutinya tanpa sebarang alasan. Kalau ALLAH memilih Rasul daripada kalangan malaikat, manusia akan mempunyai banyak alasan, ‘Dia malaikat, dia tidak mengantuk, tidak lapar, tidak kahwin, tidak ada nafsu. Kita lain.’
Ada pula di kalangan masyarakat kita yang mempelajari ilmu kebal. Sedangkan Nabi dan para sahabat pergi berperang ramai yang mati syahid, pecah-pecah muka Nabi, Baginda pengsan beberapa kali, patah gigi-gigi Nabi SAW. Sahabat ada yang terputus tangannya. Tidak pernah lagi kita dengar dalam hadis ada sahabat Nabi yang kebal dalam peperangan. Jadi mengapa kita hendak menuntut ilmu kebal?
Ini bezanya kedudukan kita dengan mereka. Kita tidak mencontohi dan mengikuti suri tauladan yang ALLAH perintahkan untuk kita ikuti. Memang kita tidak akan dapat mencapai kesempurnaan Nabi, tetapi setidak-tidaknya, jejak yang Nabi tinggalkan wajib kita ikuti. Kita wajib berusaha untuk memastikan diri kita berada di atas jalan Baginda.
Kita juga dituntut merujuk sahabat-sahabat Baginda yang berada di sekeliling Baginda. Mereka adalah orang-orang yang perlu kita jadikan ikon, kerana mereka inilah orang yang konsisten mengikut Nabi.
Adapun manusia zaman ini sering berubah pendiriannya, pada hari ini dia cakap begini, pada masa lain dia cakap lain. Mulutnya kata begitu, perbuatannya tidak seperti apa yang dia ucapkan. Tidak konsisten. Sedangkan dalam beragama kita kena konsisten. Dalam beragama kita kena pastikan bahawasanya kita bersama-sama dengan Nabi dan para sahabat.
Apabila Nabi menjelaskan dalam hadis masyhur, hadis Abu Hurairah dan yang lainnya, “Akan berpecah umatku menjadi 73 kelompok. Semuanya di dalam neraka kecuali satu.” Sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang satu) wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Mereka adalah orang-orang yang semisal dengan apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya pada hari ini.” (Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad).
Dalam riwayat lain Baginda ditanya, siapakah satu golongan yang selamat itu? Baginda menjawab: Al-Jamaah. (Riwayat Ibnu Majah) Al-Quran menjelaskan keutamaan mengikuti petunjuk Nabi dan para sahabatnya.
Firman ALLAH maksudnya, “Dan barang siapa yang menentang/memusuhi Rasul sesudah nyata baginya al-hidayah (kebenaran) dan dia mengikuti selain jalannya orang-orang mukmin, nescaya akan Kami palingkan (sesatkan) dia ke mana dia berpaling (tersesat) dan akan Kami masukkan dia ke dalam Jahannam dan (Jahannam) itu adalah seburuk-buruknya tempat kembali.” (An-Nisa’ : 115).
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah di dalam muqaddimah kitabnya “Naqdlul Mantiq” menafsirkan “jalannya orang-orang mukmin” adalah para sahabat.
Maksudnya bahawa ALLAH menegaskan barang siapa yang memusuhi atau menentang Rasul dan mengikuti selain jalannya para sahabat sesudah nyata baginya kebenaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah dan didakwahkan dan diamalkan oleh Rasulullah bersama para sahabatnya, maka ALLAH akan menyesatkannya ke mana dia tersesat (yakni dia terumbang-ambing dalam kesesatan).
Ayat yang mulia ini merupakan sebesar-besar ayat dan dalil yang paling tegas dan terang tentang kewajiban besar bagi kita untuk mengikuti “jalannya orang-orang mukmin” iaitu para sahabat. Yakni cara beragamanya para sahabat atau manhaj mereka berdasarkan nas al-Kitab dan as-Sunnah.
Sumber : ilmuanmalaysia.com

loading...

0 Response to "Hikmah diutus Rasul kalangan manusia"

Post a Comment