Tipudaya iblis kepada golongan berilmu

Kongsikan di
Image result for Tipudaya iblis kepada golongan berilmu


SLAM amat menitikberatkan soal penjagaan akhlak dan peribadi, sehingga diutusnya Nabi SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia sebagaimana yang disebut oleh Baginda, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Bukhari dalam al-Adabul Mufrad, Ibnu Sa’d, dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a, dihasankan oleh Al-Albani dalam Al-Shahihah)
Bahkan dalam hadis yang lain, Baginda bersabda, “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat At-Tirmidzi. Lihat Ash-Shahihah)
ALLAH menguji akhlak manusia dari pelbagai perspektif. Orang berilmu diuji dengan kesombongan. Orang berharta diuji dengan sikap tidak mahu bersedekah. Pemimpin dan penguasa pula diuji dengan hal-hal tertentu. Semua manusia menghadapi ujian.
Saya tertarik dengan satu kitab tulisan Imam Ibnul Jauzi berjudul Talbisu Iblis (Tipu daya Iblis). Disusun dari mula tentang bagaimana iblis menipu daya manusia dari sudut akidahnya, menipu daya ulama, pemerintah, golongan sufi dan pembaca al-Quran.
Bagi orang yang diberikan ilmu; apa tipu daya iblis kepada mereka? Pertama, kefahaman tentang ilmunya. Kedua, kesombongan.
Orang yang ALLAH SWT berikan kepadanya al-Quran, di mana dia boleh membaca dan dia boleh mengulas al-Quran. Namun bagaimana dengan kefahamannya? Pernah atau tidak kita mendengar kenyataan seorang tokoh Islam liberal yang popular beberapa belas tahun dahulu, tentang isu aurat contohnya. Dia mengatakan (penutupan) aurat wanita hanyalah budaya Arab, bukan satu kewajipan.
Dia mengambilnya dari mana, sedangkan dia juga membaca al-Quran, dia adalah seorang profesor. Dia bukan tidak tahu al-Quran, dia bukan tidak tahu hadis, tetapi masalahnya adalah kaedah atau metodologinya dalam memahami.
Sebab itu kaedah memahami ini penting. Tidak semestinya orang yang membawa al-Quran dan hadis, benar-benar apa yang diungkapkannya itu adalah kefahaman yang benar. Jika tidak, tidak akan berlaku orang berdalilkan al-Quran untuk mengkafirkan orang lain secara serampangan, menyesatkan orang secara mudah, melantik dirinya menjadi Nabi, berdalil dalam bab kahwin dua, tiga dan empat sekali gus.
Sumbernya sudah benar, tetapi cara memahami tidak betul. Jadi salah satu cara untuk menyatupadukan ummah, kita harus kembali kepada kaedah pemahaman yang benar. Iaitu dengan mengikut penjelasan dan pentafsiran para ulama muktabar. Bermula dengan generasi sahabat Nabi kerana mereka adalah ketua para Ulama. Susulannya adalah tabi’in dan tabi’ut tabi’in.
Kita perlu faham, ulama-ulama juga banyak berbeza dalam hal-hal berkaitan fiqh secara khususnya. Contoh perbezaan mudah yang masyarakat kita berkelahi sampai ke hari ini tidak habis-habis; isu qunut. Isunya kecil sahaja, tetapi kita bergaduh tidak habis-habis. Ulama kita walaupun berselisih, perselisihan mereka disusuli dengan adab.
ALLAH menguji orang yang berilmu dengan akhlaknya. Walaupun seseorang itu berpegang dengan Mazhab Syafii, ada orang lain pula berpegang dengan Imam Ahmad bin Hanbal kerana Imam Ahmad bin Hanbal lebih hebat dalam bidang hadis berbanding Imam Syafii. Orang lain pula mengatakan Imam Syafii lebih hebat dalam Ushul Fiqh, yang lain pula mengatakan Imam Malik Tok Guru kepada Imam Syafii.
Adakah kita hendak berterusan bergaduh seperti itu? Tidak faham adalah satu masalah, kemudian ditambah pula dengan sifat sombong. Ini yang disebut Nabi SAW dalam hadis tentang kibr, di mana sifat takbur ini bukan hanya ada pada orang kaya. Ia merangkumi semua orang yang ALLAH berikan sedikit kelebihan padanya, lalu dia berasa sombong.
Akan lahir pada orang yang sombong ini dua perkara seperti kata Nabi; 1) menolak kebenaran, dan 2) merendahkan-rendahkan manusia lain. Itulah yang berlaku kepada Bani Israel ketika menolak kebenaran yang dibawa para Nabi mereka. Akibat buruk dari itu sebahagian mereka dirubah oleh ALLAH menjadi kera yang hina dan mati tanpa meninggalkan zuriat. Sifat sombong juga dimiliki oleh Firaun dan Hamam sebagaimana diceritakan  dalam al-Quran.
Ancaman ALLAH terhadap orang yang sombong sangat berat. Firmannya yang bermaksud, (Dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke pintu-pintu neraka Jahannam, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong.” (Surah al-Mu’min, ayat 40)
Ini adalah ujian ALLAH SWT kepada orang yang berilmu. Sama-samalah kita bermuhasabah dan memelihara adab dan akhlak supaya kita tidak termasuk dalam golongan berilmu yang seperti itu.
Sumber : http://ilmuanmalaysia.com
loading...

0 Response to "Tipudaya iblis kepada golongan berilmu"

Post a Comment