Diumpat
Orang, Apa Nak Buat?
Mengumpat seringkali dikaitkan dengan
kaum wanita. Bila saja orang perempuan duduk berborak, mulalah dicop sebagai
mesyuarat tingkap dan bergosip. Lebih parah apabila gosip bukan lagi sekadar
gosip tetapi lebih berbentuk fitnah. Ironinya, masyarakat seperti melabelkan
kaum lelaki seperti innocent dari mengumpat dan menfitnah.
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya
sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang
lain,dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain.
Apakah ada di
antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu
berasa jijik. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sungguh ALLAH Maha Penerima Taubat,
Maha Penyayang”.Al-Hujurat, ayat
12
Kesyumulan Al-Quran sebagai kitab panduan manusia telah
meletakkan larangan dalam mengumpat dan berprasangka lebih dari 1400 tahun
dahulu. Masih, manusia degil dan tetap juga mengumpat sehingga ke hari ini.
Bahkan, acara mengumpat dimudahkan lagi dengan kewujudan medium sosial seperti
blog, Facebook, Twitter dan sebagainya.
Lihat saja kebanjiran laman web gosip artis yang
semakin mendapat tempat di hati pelayar internet. Siap buat bookmark lagi untuk
laman-laman web sebegitu. Tazkirah.net hanya dibuka apabila keinsafan menjenguk
hati ataupun ada perkongsian tentang tips memikat suami. Oops!
Yang menyedihkan, kehadiran medium sosial tersebut
turut membuka ruang bagi seseorang individu membuka pekung dan aib sendiri,
lalu memudahkan mereka menjadi mangsa umpatan dan fitnah. Gambar dan status
yang personal adalah terlalu peribadi untuk dikongsi, tapi realitinya, itulah
yang dilakukan sekalian manusia sehari-hari.
Mark Zuckerberg sendiri mengakui kelemahan Facebook
ciptaannya sebagai satu platform yang terlalu mendedahkan sisi personal
seseorang. Tapi, bagaimana pula dengan mereka yang masih menjadi mangsa umpatan
dan fitnah walaupun telah berdiam diri dan mengelak dari sebarang bentuk
pendedahan?
Realiti seorang pengumpat
Satu ideologi indah untuk menggambarkan golongan
ini adalah seperti nyamuk. Ya, nyamuk yang bising, menghisap darah dan
menyebarkan penyakit itu datangnya dari air yang bertakung.
Begitu juga dengan golongan manusia yang suka
mengadu domba. Apabila manusia terperangkap dalam satu kekangan ilmu yang tidak
berkembang, golongan ini mudah membuat bising, berprasangka dan menyebarkan
fitnah.
Lalu, haruskah kita memendam rasa dan mengambil
kira mereka yang nyata tidak berkembang permikirannya? Mengambil kata-kata
mutiara Imam Shafi’e,
Aku mampu berhujah dengan 10
orang bijak pandai, tapi tidak dengan seorang yang jahil.
Wajarkah kita mencalarkan perasaan sendiri kerana
golongan ini? Lalu, perkara pertama yang boleh dilakukan apabila beradapan
golongan sebegini adalah bersabar kerana realitinya orang yang bersangka-sangka
itu mentalitinya jumud.
Serang balas
Cara terbaik untuk membalas perbuatan yang tidak
baik adalah dengan perbuatan yang baik. Duh, klishe!
Tapi, percayalah dengan kebaikan itu dapat
‘memalukan’ pihak yang menyebarkan kata-kata tidak baik itu. Adakah berbaloi
membalas kata-kata yang tidak baik sehingga merendahkan martabat kita?
Bahkan, ia tidak akan menyelesaikan masalah yang
kita sedang hadapi. Faktanya, kita tidak boleh masuk ke dalam otak seseorang
dan ubah permikiran mereka. Tapi, kita boleh cuba mempengaruhi persepsi mereka
dengan perbuatan dan perkataan baik yang dilakukan secara konsisten.
Memang ianya menuntut sedikit kesabaran, tapi
kejayaan menggunung tidak datang dalam sehari, bukan. Sabar dan tetap di jalan
kebaikan, itulah sebaik-baik ‘serang-balas’ yang boleh kita lakukan.
Senyum
Berharganya sebuah senyuman, sehingga seorang raja
sanggup melepaskan takhta warisannya demi seorang wanita biasa. Betapa
bernilainya sebuah senyuman, sehingga mampu menjadi magnet kekayaan dan menarik
peluang berharga bagi seorang peniaga.
Ya, hanya senyum dan tanpa perlu mencium setongkol
wang atau stereng kereta!
Dalam konteks ini, kita perlu jelas niat senyum
adalah untuk memberitahu sang pembawa cerita bahawa kita sedikit pun tidak
terjejas dengan khabar-khabar angin tersebut. Bahkan, kita tetap bahagia dan
gembira di kehidupan seharian kita.
Ini dapat memberikan satu isyarat yang mengelirukan
kepadanya dan orang sekeliling yang mulai terpengaruh dengan isu tersebut.
Lambat laun, akan lahir di benak mereka akan kebenaran dan kesahihan berita
tersebut.
Yakin, apabila kebenaran hadir, kata-kata negatif
akan pudar dan hilang dengan sendirinya. Sepertimana matahari yang menghalau
awan kelabu apabila sinarnya kembali menyinsing.
Dunia kecil kita
Bina dunia kecil kita sendiri. Dunia ini terlalu
besar untuk kita fikirkan semuanya. Terlalu luas. Lalu, binalah satu dunia kita
sendiri yang hanya dipenuhi mereka yang benar-benar penting dan kita sayangi.
Selepas kita bina dunia kecil ini, usah pedulikan
dunia ‘luar’ yang kurang penting. Mereka yang benar-benar menyayangi kita tidak
akan melakukan sesuatu yang menyakiti atau menyedihkan kita.
Fokus kepada mereka yang ikhlas, kerana apa jua
yang kita lakukan benar-benar bermakna bagi mereka. Apabila sesuatu menimpa dan
kita memerlukan sokongan, pandanglah mereka yang menghuni dunia kecil kita ini.
Apabila mereka menyokong tindakan kita, bererti seluruh dunia sudah menyokong
kita!
Saya gemar menkelaskan dunia saya ini kepada
beberapa petala. Petala terdalam terdiri dari immediate familly yang sentiasa
dibelakang saya walau apa jua. Diikuti dengan petala kawan-kawan rapat, rakan
sekerja mahupun sesiapa sahaja.
Bersandarkan teori ikatan kimia, semakin besar
petala itu, semakin kurang tarikan antara kita dan penghuninya dan semakin
kurang penting juga mereka-mereka ini dalam mempengaruhi kehidupan seharian
kita.
Stand tall
Kita tidak perlu menjadi 170cm untuk stand tall.
Sebenarnya, walau apa jua yang kita lakukan,
haruslah diasaskan dari keyakinan yang tinggi. Yakin kita di pihak yang benar,
jangan mudah goyah atau kecewa denagn sesuatu yang tidak menurut perancangan
kita.
A lie told with confidence
will eventually become the truth.
Kenapa perlu hukum diri di atas kesilapan yang
bukan berpunca dari kita? Perbualan dan perkataan orang lain adalah sesuatu di
luar kawalan kita. Kita tidak mampu mengawal mahupun menghalang perkara
tersebut.
Jadi, biarkan sahaja perkara yang di luar kawalan
kita dan fokus hanya pada perkara yang mampu kita kawal. Lagipun, bukankah kita
hanya perlu fokus pada satu persepsi sahaja iaitu ALLAH S.W.T?
Sumber : tazkirah.net

loading...
0 Response to "Diumpat Orang, Apa Nak Buat?"
Post a Comment